02 February 2022

INSIDEN BERLAKU TINGGAL KESAN MENDALAM - NYNAA AKUI MASIH BERHUBUNG DENGAN KELUARGA



Pelakon Nynaa Harizal, 26, yang terpisah dengan suaminya, Mohamed Fahmi Ilyas, 30, selama 24 hari dek kerana kontroversi rumah tangga apabila didakwa diculik ahli keluarganya, penghujung tahun lalu itu memberitahu, sebelum dan selepas berkahwin, keluarga serta rakan taulan tahu mereka tidak pernah bermasalah.

Nynaa berkata, dia seorang yang sangat mementingkan keluarga, tetapi, sekarang sudah kahwin. Jadi, suami menjadi keutamaannya. Diusik pertanyaan apa perasaannya berjauhan dengan suami, Nynaa akuinya, mestilah ada perasaan rindu.

"Namun, disebabkan insiden ini, keadaan sukar dan mencabar. Jujurnya, susah mahu menjelaskan segala-galanya, tetapi Alhamdulillah, kekeruhan dapat dijernihkan. Hubungan saya dan suami baik seperti dahulu. Soal hubungan dengan keluarga, tipulah jika saya katakan tiada masalah dengan keluarga, mesti ada. Apa yang saya harapkan semuanya akan kembali jernih.

Klik untuk gambar besar



"Namun, saya masih berhubung dengan keluarga. Insiden yang berlaku masih ada kesannya. Saya percaya akhirnya semuanya akan okay. Mungkin akan mengambil sedikit masa. Keluarga pun lama-lama akan baik dan boleh terima. Ia sangat sukar apabila kami tidak boleh berkomunikasi selama 24 hari. Saya hanya bertemu suami ketika hadir di mahkamah sahaja.

"Seperti yang diketahui, telefon bimbit tiada dengan saya. Saya juga tak boleh akses apa sahaja media sosial. Menghubungi suami juga tidak dibenarkan. Jadi, saya hanya baca komen netizen selepas pulang ke rumah.

"Tidak mengapa, netizen tidak tahu apa yang berlaku, perkara sebenar. Mereka ada pendapat tersendiri, jadi, saya tidak perlu berkecil hati kecaman netizen terhadap saya dan keluarga. Apapun, saya bersyukur segala-galanya sudah berlalu," katanya.


Ada yang menganggap kontroversi sekadar gimik, Nynaa berkata, lebih baik berdiam kerana ia membabitkan masalah dalaman keluarga. Katanya, buat masa ini, dirinya mahu berehat dahulu.

"Jika boleh, saya tidak mahu berkongsi dengan orang luar, bimbang menimbulkan fitnah dan cerita lain. Ataupun, cerita A, tetapi ditokok tambah menjadi B atau C. Jadi, saya tidak mahu mengeruhkan keadaan. Apa yang berlaku bukannya isu main-main, setiap pasangan suami isteri nak minta jauh dari halangan. Namun, ia terjadi pada kami.

"Ada sahaja tawaran berlakon, tetapi, saya terpaksa tolak sebab saya mahu menikmati kehidupan bersama suami. Alhamdulillah, insiden ini tidak memberi kesan kepada kerjaya," katanya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: