14 February 2022

HASRAT IBU UMRAH BERSAMA DUA RAKAN TERTUNAI - MAS KHAN 'SPONSOR', AMBIL PAKEJ MEWAH BULAN RAMADAN



Pelakon Mas Khan baru-baru ini menunaikan hasrat ibunya iaitu Meliza Hanafi yang mahu menunaikan umrah bersama dua rakan baik apabila menaja pakej ibadah buat mereka.


Mahu memberi inspirasi kepada orang lain, Mas Khan berkata dia hanya ingin melihat ibunya bahagia dapat melakukan ibadah itu bersama dua orang rakan.

"Saya berkongsi bukan sebab nak terkenal tapi lebih kepada nak beri inspirasi kepada orang untuk lakukan seperti saya. Benda baik patut kita kongsi dengan orang lain... bukan dengan niat nak berlagak pun. Ibu saya pun memang dah lama teringin nak ke Makkah.

"Jadi, dia pun ajak dua orang kawan baik untuk buat umrah pada bulan puasa nanti. Tapi waktu itu pakej agak mahal. Kawan-kawan dia tak mampu nak pergi bulan puasa. Apabila ibu saya cerita, saya sebagai anak rasa kesian. Jadi apa salahnya saya bayarkan untuk kawan-kawan ibu sekali," jelasnya yang dipetik sebagai berkata kepada mStar.

Sebelum ini, perkongsian Mas Khan di laman Instagram yang menaja ibu dan kawan-kawan menunaikan umrah telah menarik perhatian netizen. Rata-rata netizen memuji sikap Mas Khan yang tidak berkira dan sanggup membelanjakan wang yang banyak demi kebahagiaan ibunya.

Klik untuk gambar besar



Dalam pada itu, pelakon 'Abang Long Fadil 2' ini mengakui dia meminta ibunya untuk mencari pakej mewah untuk memudahkan urusan mereka bertiga. Sementara itu, Mas Khan menganggap apa yang dilakukankannya itu sebagai seorang anak yang ingin membalas jasa kepada ibu.

"Mesti ramai pelik kenapa pula saya nak bayar. Tapi bagi saya, ia pahala untuk saya. Bukan senang nak dapat pahala macam ini. Saya minta ibu cari pakej menarik yang memudahkan urusan mereka untuk menunaikan umrah. Alhamdulillah, dia dapat pakej dalam RM12,000 seorang.

"Apa yang saya lakukan adalah kebaikan. Saya rasa ini la cara untuk saya balas semula jasa ibu. Mungkin saya tak dapat balas daripada segi masa. Saya sibuk dengan kerja untuk cari rezeki. Jadi, ini la salah satu cara terbaik untuk balas jasa ibu. Saya rasa semua anak nak buat benda sama.

"Saya faham bukan semua orang berduit. Tapi jangan sesekali berkira dengan ibu bapa dan keluarga. kalau kita gembirakan ibu bapa, maka syurga la tempat kita," ujarnya.


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: