"Suria FM mengambil maklum rungutan itu dan akan meneliti semula kandungan audio terbabit agar masalah yang dibangkitkan dapat diselesaikan sebaik mungkin. Pihak kami mengucapkan terima kasih atas teguran yang diberikan dan akan meneliti semula sketsa berkenaan sebelum tindakan susulan diambil," kata pengurus Besar, merangkap Ketua Stesen Radio Suria FM iaitu Roslinda Abdul Majid atau lebih dikenali sebagai DJ Lin.
Kekesalan pelakon Shakila Khoriri yang terguris apabila seorang penyampai Suria FM, mengeluarkan dialog yang tidak sepatutnya dalam segmen sketsa pagi bersama PU Azman segera mendapat perhatian pengurusan Suria FM. Menerusi program terbabit, dialog berbunyi, 'sebab Fizi kahwin dengan orang yang salah ke?' membuatkan ia menjadi pertikaian pendengar.
DJ Lin berkata, mereka mengambil maklum mengenai teguran dan pandangan segelintir pihak berhubung penyiaran audio sketsa membabitkan penyampai Suria FM itu yang dikatakan menyentuh hati pihak tertentu seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.
Terdahulu, Shakila, 32, yang juga bekas isteri penyampai Suria FM iaitu Fizi Ali, meluahkan perasaan kesal apabila terdapat segelintir pihak mempermainkan namanya selepas bercerai dengan Fizi pada Disember, tahun lalu.
Klik untuk gambar besar
Menerusi Instagramnya, Shakilla mengakui diberitahu oleh ramai individu mengenai sikap segelintir pihak yang mempersendakan dan campur tangan urusan peribadinya, namun dia mendiamkan diri kerana tidak mahu membesarkan isu. Dia juga kurang pasti sebab penyampai terbabit mengeluarkan dialog berkenaan.
"Semakin saya cuba perbetulkan diri untuk jadi lebih baik, semakin orang galak pijak kepala saya. Saya bukanlah jenis yang mencari apatah lagi nak siasat sampai ke lubang cacing pasal sesuatu kerana saya yakin Allah akan tunjuk apa yang sepatutnya saya tahu," tulisnya.
"Mungkin dari penyampaian tuan badan atau dari gerak rasa sendiri. Kisah saya dah berakhir. Dan saya secara peribadi tak menyalahkan pasangan saya. Tapi jangan cuba buat saya untuk sentuh apa yang tak sepatutnya dan akan membuka aib sesiapa. Cukup.
"Saya tak boleh nak komen panjang pasal isu ini. Mungkin Suria Malaysia boleh buat perbincangan kecil dengan penyampai berkenaan. Atau mungkin boleh terangkan maksud penyampai terbabit.
"Saya harap ini yang terakhir sebab saya takkan teragak-agak untuk ambil tindakan dari percakapan yang tiada tapisan dan berunsur fitnah atau memalukan," ujarnya.
Untuk makluman, Shakilla berkahwin dengan Fizi pada 18 Februari 2018 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Ameena Sofia kini berusia dua tahun. Pasangan ini kemudiannya mengambil keputusan untuk bercerai.
________________________
No comments:
Post a Comment