31 March 2022

BERDEPAN HUKUMAN GANTUNG SAMPAI MATI - YASIN PESAN "KIRIM SALAM PADA YB SYED SADDIQ..."



"Kirim salam pada YB Syed Sadiq, minta dia segerakan kelulusan kanabis untuk perubatan di Parlimen," demikianlah pesanan Yasin Sulaiman kepada pihak media ketika tiba di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya kira-kira pukul 10 pagi Khamis.


Penyanyi nasyid dan komposer itu berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja di kediamannya 24 Mac lalu.

Yassin yang didakwa mengedar dadah jenis ganja anggaran berat 214 gram, kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau gantung sampai mati dan sekiranya tidak dihukum mati hendaklah disebat maksimum 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Klik untuk gambar besar



Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Sementara itu, Yasin mengaku tidak bersalah bagi satu lagi pertuduhan di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin di Mahkamah Sesyen. Tertuduh didakwa menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah merah di tempat, waktu dan tarikh sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 6(B)(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang enam kali jika sabit kesalahan.



Bagi kedua-dua prosiding itu, mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap Yasin dan menetapkan 18 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan kejayaan polis membongkar kegiatan Yasin menanam pokok ganja di kediamannya di Kota Damansara. Dalam serbuan pada 24 Mac lalu, polis menemui 17 pokok dalam pasu disyaki ganja di salah sebuah bilik, balkoni rumah dan dalam almari baju.

Polis turut menemui dua plastik berisi ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 214 gram, cecair pemusnah serangga, alat pengukur kandungan PH air, alat penyukat suhu, lampu, alat menyiram tanaman dan alat pengudaraan. Rampasan itu dianggarkan bernilai sekurang-kurangnya RM10,200.

Suspek berusia 47 tahun itu didapati positif tetrahydrocannabinol dan mempunyai sejarah penglibatan dadah sekurang-kurangnya 10 tahun.








         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: