31 March 2022

BEKAS WARTAWAN & PENULIS LIRIK, RUDY IMRAN DIJEMPUT ILAHI - DAYANG RALAT TAK SEMPAT RAKAM LAGU



Pada jam 11.30 pagi hari ini, bekas wartawan hiburan dan penulis lirik iaitu Rudy Imran Shamsudin, 47, telah menghembuskan nafas terakhir di kediaman keluarganya di Semenyih, Selangor, akibat kanser usus.


Rakan rapatnya yang juga wartawan hiburan, Sudirman Mohd Tahir berkata, Rudy yang sebelum itu dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini, dibenarkan pulang ke rumah dua hari lalu. Menurut Sudirman lagi, kali terakhir dia bertemu dengan Rudy adalah ketika menziarahinya di hospital pada Januari lalu.

"Dua hari lalu, adiknya menghantar mesej kepada saya memaklumkan arwah sudah dibenarkan pulang ke rumah. Namun, dia meminta supaya perkara itu dirahsiakan. Sewaktu menziarahinya pada Januari lalu, dia ada beritahu saya, dia segan kalau orang datang melawatnya kerana dia takut tak boleh nak layan tetamu," jelasnya.

Beliau memulakan kerjaya kewartawanannya pada tahun 1995 selepas tamat Sijl Pelajaran Malaysia (SPM). Allahyarham yang berpengalaman sebagai wartawan selama 26 tahun juga pernah berkhidmat dengan VariaPop, Akhbar Watan, Media Hiburan, Majalah Hai, Utusan Malaysia, Bacaria dan Harian Metro.

Klik untuk gambar besar



Ketika masih bekerja, beliau melanjutkan pelajaran secara sambilan di UiTM dalam bidang komunikasi sehingga memperoleh kelulusan Ijazah Sarjana Muda dan seterusnya menyambung pelajaran di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang peringkat Sarjana. Ketika ini, beliau dalam proses menyiapkan tesis bagi melengkapkan pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD).

Sebagai penulis lirik, pencapaian terbaik Rudy yang turut dikenali dengan nama Iman Imran ialah lagu Lelaki Teragung nyanyian Dayang Nurfaizah dimana lagu tersebut menjuarai Anugerah Juara Lagu ke-31 (AJL31).

Allahyarham yang masih bujang itu turut menulis lirik 'Di Pintu Syurga' (Dayang Nurfaizah), 'Hey! Kau' (Allahyarham Sandra) dan 'Nyawa & Raga' (Sarah Suhairi). Selain itu, Rudy juga pernah menghasilkan novel yang diinspirasikan daripada kisah-kisah cinta artis tanah air berjudul 'Menangkah Cinta?'.

Sementara itu, Dayang, 41, kehilangan kata-kata terhadap berita pemergian Allahyarham Rudy. Ujar Dayang, Rudy adalah insan yang cukup besar sumbangannya dalam karier seninya selama ini.


"Bermula dari hubungan antara wartawan dan artis hinggalah abang Rudy menulis lirik untuk lagu-lagu saya. Terlalu banyak kebaikan abang Rudy, orang sekeliling sentiasa menyenangi. Saya bagai hilang kata-kata kerana semuanya berlaku sangat cepat. Akan saya kenang setiap kenangan indah sepanjang kerjasama kami," tuturnya.

Dayang turut terkilan apabila tidak sempat merakamkan sebuah lagi lagu ciptaan Allahyarham: "Saya berasa sedikit ralat kerana tak sempat rakamkan lagu yang arwah tuliskan liriknya. Andai dapat diulang masa, saya nak rakamkan lebih awal supaya abang Rudy dapat mendengarnya.

"Namun, mungkin inilah buah tangan terakhir abang Rudy untuk saya sebagai memori di hari mendatang. Semoga roh abang Rudy ditempatkan dalam kalangan insan yang dikasihi Allah. Semoga kita bersua 'Di Pintu Syurga'," katanya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: