31 March 2022

"ANAK-ANAKNYA SANGAT KUAT & MENUNGGU KEPULANGAN BELIAU" - ABANG DOA URUSAN YASIN SULAIMAN DIPERMUDAHKAN



Zain Sulaiman, 50, yang merupakan abang kepada Yasin Sulaiman, 47, memberitahu anak-anak penyanyi nasyid dan komposer itu tabah dengan apa yang berlaku.


Dalam masa sama, dia yang ditemui di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, ini juga berdoa agar urusan adiknya itu dipermudahkan. Selain Zain, anggota kumpulan Brother iaitu Akbar turut dilihat hadir memberi sokongan moral kepada Yasin.

Menurut Zain, kedua-dua anak Yasin iaitu Sameer, 12, dan Malaika, 7, sudah mengetahui keadaan bapa mereka bahkan, menaruh harapan tinggi untuk melihat penyanyi lagu 'Mimpi Laila' itu kembali ke pangkuan keluarga. Katanya, ahli keluarga mereka juga sentiasa mendoakan yang terbaik buat Yasin dan memberi sokongan tidak berbelah bahagi.

"Anak-anaknya sangat kuat dan menunggu kepulangan beliau (Yasin). Saya mendoakan Allah SWT mempermudahkan segalanya," katanya ketika ditemui di pekarangan Kompleks Mahkamah Petaling Jaya di sini.

Klik untuk gambar besar



Sementara itu, peguam Yusmadi Yusoff yang mewakili Yasin, memaklumkan penyanyi itu melalui fasa perceraian dengan isteri, Sharifah Eena Houzyama Syed Mokhsain yang memburukkan kesihatannya, namun dikelilingi ahli keluarga dan kenalan yang sentiasa memberi sokongan.

Jelasnya lagi, Yasin juga tiada rekod negatif dan banyak memberi inspirasi kepada masyarakat menerusi karyanya sebelum ini. Dalam pada itu, Yusmadi turut memohon pertimbangan mahkamah untuk rawatan anak guamnya, sebelum mahkamah mengarah perkara itu dibawa ke pengetahuan Jabatan Penjara.

Tambahnya lagi, sokongan keluarga dan orang terdekat adalah sangat baik buat penyanyi itu ketika ini. Yusmadi juga meminta pihak media tidak menggunakan ayat 'ladang mini' bagi merujuk kes tersebut. Dia juga meminta orang ramai untuk tidak menulis komen tidak wajar yang mengganggu urusan perbicaraan tersebut.



"Kita doakan sama-sama untuk urusan dia. Malah, hari ini ada juga kawan-kawannya yang datang. Bagi saya, dia tiada rekod negatif dan dia adalah seorang yang banyak memberi inspirasi. Rasanya ia (pandangan itu) perlu dikekalkan begitu.

"Satu lagi yang harus direkodkan, amat tak wajar dia dilaporkan memiliki ladang mini. Itu tidak betul. Kemudian ada yang kata kononnya ada sejumlah wang dan sebagainya, saya dah semak, tiada. Tapi tentang hal itu tidak boleh komen lanjut kerana kes sedang berjalan. Cuma agar komen-komen yang tidak wajar harus dielakkan," ujarnya.

Yasin hari ini menghadapi dua pertuduhan iaitu menanam 17 pokok ganja dan mengedarnya di sebuah unit kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3 Kota Damansara di sini, pada jam 5.30 petang, 24 Mac lalu.

Mahkamah tidak membenarkan Yasin diikat jamin dan menetapkan 18 Mei ini untuk sebutan semula kes. Terdahulu, Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen dimaklumkan Yasin menghidap bipolar sejak 2009 dan memerlukan rawatan susulan, dengan rawatan terakhir diterimanya pada dua bulan lalu.





         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: