"Sebelum ini baba (ayah) tanggung kehidupan kami sepenuhnya. Sekarang dia sakit dan kami perlu ambil tanggungjawab untuk cari rezeki pula. Kawan baba, seorang ustaz ada kedai di Bazaar Sungai Besi berhasrat memberikan kami kedai untuk berniaga secara percuma.
"Jadi, kami berhasrat untuk berniaga makanan kering seperti kerepek dan kuih muih. Ia dijangka bermula pada Ramadan ini," ujar dua anak penyanyi Ali XPDC iaitu Wan Aliuddin Aqiel, 26, dan Wan Nurazmyn, 24, yang berkata, keadaan bapanya itu mendorong mereka untuk berniaga bagi membantu kewangan keluarga.
"Ikutkan baba memang tak mahu anak-anaknya bekerja dan tumpukan perhatian pada pelajaran. Tapi dalam keadaan sekarang biarlah saya tangguhkan dulu belajar. Alhamdulillah, ummi mempertahankan hasrat kami apabila beri kebenaran kami bekerja. Kami akan dibantu oleh seorang lagi adik iaitu Wan Ainin.
"Produk makanan ini diambil dari Pulau Pinang dan kos yang diperlukan ialah sekitar RM6,000," tutur Wan Aliuddin Aqiel yang kini di tahun akhir pengajian dalam jurusan Fikah dan Syariah Islamiah di maahad tahfiz di Pulau Pinang, terpaksa mengambil cuti sehingga Aidilfitri untuk bersama keluarganya.
Klik untuk gambar besar
Walaupun beransur sembuh, Ali yang kini meneruskan rawatan di Hospital Rehabilitasi Cheras, di sini, masih perlu berehat enam bulan dari nyanyian sebelum benar-benar sihat.
Pada sidang media RASA (Cinta Di Sebalik Musim) Datuk Ramli Sarip di sebuah hotel, di sini, hari ini, mereka hadir mewakili Ali bagi menerima sumbangan tabung penggiat seni sumbangan penganjur Mukmin Pay Sdn Bhd dengan sokongan Konsortium IRAMA.
"Syukur, dengan bantuan ini dapatlah ringankan beban kami membeli keperluan baba seperti susu dan lampin pakai buang. Hospital pun bagi susu untuk sebulan saja dan selepas itu kena beli sendiri," kata Wan Nurazmyn.
Menurutnya, mereka sekeluarga juga kini tinggal sementara di rumah ibu saudara di Balakong untuk menjimatkan kos: "Ummi kata kos agak tinggi untuk berulang dari Rantau Panjang, Klang ke Cheras. Jadi, kami sekeluarga terpaksa ambil keputusan ini," jelasnya.
________________________
No comments:
Post a Comment