25 March 2022

TANAM 17 POKOK GANJA DI RUMAH - PENYANYI NASYID BERDEPAN HUKUMAN GANTUNG



Kegiatan penyanyi nasyid yang juga komposer terkenal mengusahakan 'ladang mini' tanaman ganja terbongkar selepas kediamannya di kondominium di Kota Damansara, di sini, diserbu polis pada Khamis.


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, serbuan di lokasi terbabit pada 5.30 petang itu membawa kepada penahanan lelaki berusia 47 tahun bersama 17 pasu pokok ganja yang ditanam sejak dua bulan lalu. Tambahnya, suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula Jumaat.

"Ketulan mampat ganja bernilai RM10,700 itu ditemui di bahagian dapur dalam bekas plastik berwarna biru dan hitam yang diletakkan di atas kabinet dapur. Selain itu, polis turut merampas ketulan mampat ganja seberat 214 gram. Pemeriksaan lanjut di sebelah bahagian dapur rumahnya pula, polis menemui satu almari kain berwarna hitam yang di dalamnya terdapat tiga pasu pokok disyaki ganja," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, pada Jumaat.

Selain itu, polis juga menemui 13 pokok dalam pasu disyaki ganja yang ditempatkan dalam sebuah bilik dan satu pasu yang diletakkan di balkoni kediaman tersebut. Jelas Mohamad Fakhrudin lagi, siasatan awal mendapati suspek yang pernah memenangi Anugerah Juara Lagu (AJL) itu dipercayai menanam ganja terbabit untuk kegunaan sendiri.

Klik untuk gambar besar



"Hasil pemeriksaan di dalam rumah berkenaan menemui 13 pokok dalam pasu disyaki pokok ganja di bahagian bawah sebelah kanan almari di dalam salah sebuah bilik. Kami turut menemui satu lagi pokok dalam pasu disyaki ganja di balkoni rumah dan tiga lagi pokok ganja di dalam almari baju

"Keseluruhan dadah yang dirampas termasuk 17 pokok ganja terbabit dianggarkan bernilai RM40,700 yang boleh dibekalkan kepada 214 penagih. Kita percaya suspek tanam sendiri pokok terbabit, namun kita masih menyiasat dari mana benih tanaman itu diperolehnya. Kita juga percaya suspek ini sudah terlibat dengan penagihan dadah selama 10 tahun dan dia mempelajari cara menanam pokok terbabit menerusi media sosial," tuturnya.

Susulan penemuan itu, polis merampas pelbagai alatan penanaman tumbuhan berkenaan antaranya cecair pemusnah serangga, penyukat suhu, lampu pelbagai jenis dan alat pengudaraan.

"Kami turut merampas satu botol cecair pemusnah serangga, satu alat pengukur, kandungan PH air, satu alat penyukat suhu, tujuh lampu, satu alat menyiram tanaman dan alat pengudaraan, satu pasport serta kad pengenalan milik suspek serta satu rangkai kunci.



"Dalam serbuan itu, polis juga merampas kereta milik suspek iaitu Toyota Wish dan wang tunai bernilai RM40,700. Nilai keseluruhan rampasan adalah RM61,600 dan suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga Jumaat depan," katanya.

Katanya, hasil ujian saringan awal suspek yang pernah mengaggotai kumpulan nasyid dan kemudian bergerak secara solo itu mendapati dia positif ganja dan mempunyai sejarah penagihan dadah sejak 10 tahun lalu.

"Hasil ujian saringan air kencing terhadapnya juga mendapati suspek positif dadah jenis THC (ganja). Semakan dilakukan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah. Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 31 Mac nanti untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6B, Akta Dadah Berbahaya 1952, yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati mandatori.


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: