17 March 2022

DILEMA URUSKAN ANAK & KERJA - FENDY CALIPH BUSKERS PERLU PENGASUH



"Kalau boleh perempuan berusia 20-an hingga 40-an dan yang boleh bekerja dari jam 12 tengah hari hingga jam 8 malam. Kalau lebih masa boleh dibincangkan. Jadi, saya senang untuk uruskan kerja saya sebagai busker atau mana-mana persembahan. Pemuzik kerjanya tak menentu, jadi saya perlukan pengasuh.

"Saya kini adalah bapa dan ibu kepada Nur Azalea Zafirah. Saya uruskan penjagaan dia sepenuhnya kerana bekas isteri nak kahwin lain dan serahkan anak kepada saya," itulah kata pemain dram kumpulan Caliph Buskers, Fendy Adlun, 31, yang kini sedang mencari pengasuh yang boleh menjaga anaknya, Nur Azalea Zafirah, 7, di rumah semasa dia bekerja.

Ujar Fendy, dia yang tinggal di Pusat Perumahan Rakyat (PPR) Bandar Tun Razak berada dalam dilema untuk menguruskan puteri tunggalnya yang akan mula bersekolah minggu depan selain kerjayanya sebagai pemuzik.

Klik untuk gambar besar



"Anak saya perlu dimasukkan di Sekolah Rendah Pendidikan Khas Jalan Batu, Kuala Lumpur. Saya kena fikirkan pengangkutan untuk hantar dan ambil. Kos menggunakan perkhidmatan Grab atau teksi setiap hari pastinya membebankan. Nak naik LRT boleh tapi takut lambat. Lagipun kami berdua cacat penglihatan, jadi untuk naik LRT agak sukar. Apa nak buat, dugaan hidup saya begini," tuturnya.

Fendy yang cacat penglihatan berkata, dia agak tertekan memikirkan cara terbaik untuk menguruskan anaknya yang juga cacat penglihatan di sekolah khas di ibu kota. Fendy turut memaklumkan anaknya juga mempunyai masalah autisme ringan menyebabkan perkembangan otaknya terganggu.


"Jaga budak cacat penglihatan senang kerana tak banyak kerenah. Tak macam budak lain yang agresif lari sana sini. Cuma layan dia saja. Tak susah. Namun, kalau boleh saya nak cari pengasuh yang ada asas pendidikan kanak-kanak dan tahu nak kendali budak begini.

"Saya nak pengasuh datang ke rumah ajar anak saya uruskan diri. Umurnya tujuh tahun tapi otaknya sedikit lambat dan karakter macam tiga tahun. Dia masih pakai lampin pakai buang dan makan perlu disuap. Pengasuh ini mesti yang sukakan kanak-kanak," jelasnya yang tabah dengan dugaan takdir.

Dalam pada itu, Fendy memberitahu, dia terpaksa meninggalkan Caliph Buskers dalam program MeleTOP kerana tidak boleh bekerja malam: "Anak sekolah pagi, jadi saya kena bangun awal siapkan dia. Tak dinafikan saya terjejas dari segi kewangan kerana pemuzik biasanya banyak tawaran kerja malam," ujarnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: