17 March 2022

SELEPAS 25 TAHUN - BOBOY AKHIRNYA BERSATU SEMULA



Pernah mencetuskan fenomena sekitar awal 2000, kumpulan remaja iaitu Boboy akhirnya bersatu kembali dalam Konsert Minggu Ini (KMI) terbitan RTM, selepas hampir 20 tahun tidak mengadakan persembahan bersama.

Penyanyinya, Naqiu atau nama sebenarnya Wan Naqiuddin Mohd Najib, 36, berkata, kali terakhir mereka muncul bersama di TV adalah menerusi program Hiburan Minggu Ini pada 2002.

"Jika diikutkan sebelum saya muncul di Gegar Vaganza (GV) lagi, ramai peminat yang bertanya bila kami akan kembali menghasilkan lagu baru. Walaupun sudah lebih 15 tahun kami menyepi, rupanya ramai peminat masih menanti dan berharap untuk kami kembali.

"Sebenarnya ketika saya menyertai program GV lagi memang sudah terdetik untuk menghidupkan kembali kumpulan Boboy memandangkan mereka inilah yang memberi saya semangat serta galakan untuk sertai GV. Malah, mereka tak mahu berkawan dengan saya jika saya tak masuk GV.

"Alhamdulillah hubungan yang dibina lebih dua dekad masih baik dan kami saling berhubung antara satu sama lain walaupun semua sudah membawa haluan sendiri dan membina kehidupan masing-masing.

"Jadi perancangan untuk kembali bersatu tidak sukar dan berjalan dengan lancar. Insya-Allah kami akan menghasilkan sebuah lagu baru selepas Aidilfitri nanti. Ini adalah buah tangan paling bermakna buat semua peminat," ujarnya.

Ditanya mengenai punca Boboy memilih untuk menyepi pada zaman kegemilangan kumpulan itu, Naqiu berkata, Boboy lenyap bukan disebabkan pergaduhan antara ahli kumpulan sebaliknya krisis berlaku hanya berpunca dengan dirinya sendiri.

"Kami tidak bergaduh, tapi lebih kepada krisis saya dengan diri sendiri ketika itu sehingga saya ambil keputusan untuk tidak aktif menyanyi. Jadi, apabila mereka lihat saya sudah tidak mahu aktif, ahli lain pun turut ambil keputusan untuk tidak aktif.

"Jadi, masing-masing pun carilah karier lain dan meneruskan kehidupan seperti biasa. Bagi mereka, untuk apa nak teruskan perjalanan muzik ini kalau saya memilih untuk tidak mahu aktif lagi.

"Namun, apa yang buatkan saya lebih sedih dan hormat kepada abang-abang saya ini adalah sepanjang Boboy tiada, mereka tidak pernah terfikir untuk tubuhkan band lain dan tak main muzik selain dengan saya.

"Mengenangkan pengorbanan dan semangat abang-abang saya inilah yang membuatkan saya mahu melakukan sesuatu dan mahu menghidupkan kembali kumpulan Boboy," katanya.

Selain Naqiu, Boboy turut dianggotai Shah, 38 (gitar utama), Muz, 38 (gitar kedua), Didi, 38 (bass) dan Dzul, 38 (dram). Mereka mencipta fenomena dan menjadi kegilaan ramai ketika itu menerusi single pertama berjudul Episod Cinta ciptaan Awang BPR yang dilancarkan pada 2001.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: