23 March 2022

'KU IKHLASKAN' RAIH 1 JUTA TONTONAN - VIDA NAFI DAKWAAN TUNGGANG AGAMA, RIMAS LAYAN IQBAL



"Menunggang agama apa? Ini sebahagian kerja amal kami, apalah salah sambil menonton MV kita ajak orang ramai menderma dengan hulurkan sedikit sumbangan ke nombor akaun yang saya nyatakan. Sambil berhibur, kalau boleh hulurkan la sikit untuk pahala. InsyaAllah duit yang kita dapat daripada jumlah tontonan YouTube itu pun nanti kita akan sumbangkan.


"Ada juga cakap kenapa saya tak bagi sumbangan RM400,000 secara terus kepada mereka? Sejujurnya sebelum ini saya dah buat seorang diri, dah banyak sumbangan saya bagi, jadi tak salah sekarang ini saya nak ajak orang lain berjemaah sekali.

"Saya dah bagi bahagian saya, jadi saya buka peluang untuk orang lain juga. Bagilah berapa pun nak menderma, yang penting niat kita. Kalau boleh kita letak sasaran nak kumpul sumbangan lebih dari kos MV. Tapi alahai sampai sekarang ni baru berjaya kumpul RM1,300 sahaja!

Klik untuk gambar besar



"Saya tak kisahlah orang nak cakap apa pun sebab kita buat MV ni dengan niat baik. Saya juga mahu sampaikan mesej positif kepada penonton. Kalau kita ikhlaskan diri, pasti jiwa kita akan tenang," jelas Datuk Seri Vida yang menafikan dakwaan kononnya dia menggunakan sentimen agama bagi menyiapkan pusat tahfiz dengan mengajak orang ramai menonton muzik video lagu terbaharunya berjudul 'Ku Ikhlaskan'.

Mahu mengumpul dana bagi menyiapkan Pusat Tahfiz & Syahadah Al Zikri Wa Zuhdie di Meru, Ipoh, Perak, Vida atau nama sebenar Hasmiza Othman, 51, berkata, niatnya menganjurkan program amal sambil berhibur itu adalah untuk menggalakkan orang ramai menyumbang dan bersama-sama mengumpul pahala akhirat.

Sementara itu, Vida turut menjawab dakwaan bekas pembantu peribadinya iaitu Ahmad Iqbal Zulkifli kononnya muzik video berkenaan ditujukan kepadanya dan mempunyai kaitan tentang hubungan cinta tidak kesampaian mereka dahulu.



"Tak ada kena mengena dengan dia... serabutlah saya! Sekarang ni dah sendu mulalah nak kaitkan nama saya. Saya dah malas nak layan dia, kalau dilayan makin menjadi nanti. Fasal gambar dia dalam MV tu, saya pun tak tahu ada foto dia sebab itu semua disediakan oleh budak prop.

"Tajam pula mata dia tengok sedangkan saya pun tak perasan. Malaslah saya nak fikir apa kata dia... ini namanya sumpahan tak boleh popular, apabila dah popular mulalah lupa diri, asyik berbunyi sahaja sebab sekarang pun dah sendukan?" ujarnya.

Muzik video 'Ku Ikhlaskan' yang dilancarkan pada jam 3 pagi Isnin lalu itu kini sudah pun meraih 1 juta tontonan selepas 24 jam ianya dimuat naik di YouTube. Berkongsikan berita gembira itu di laman Instagram miliknya, rata-rata netizen mengucapkan tahniah buat usahawan berkenaan di atas kejayaannya itu.



Ada juga turut memuji persembahan terbaik Vida serta pakaian yang ditampilkan dalam muzik video berkenaan. Tidak kurang juga, ramai yang mengatakan lagu tersebut sememangnya sedap dan berharap lagu itu dapat ke Anugerah Juara Lagu (AJL).

Kata Vida, lagu ciptaan Amy Ukays bersamanya itu bukan sekadar luahan kisah peribadi tetapi penuh dengan emosi duka lara yang dialaminya. Difahamkan, muzik video berkenaan menelan kos RM40,000 dan menjalani penggambaran selama lima hari di sekitar Kuala Lumpur dan Genting Highlands.

Terdahulu, ramai pihak meluahkan rasa kurang senang termasuklah pendakwah bebas, PU Syed atau nama penuhnya Syed Mohd Bakri Syed Ishak tampil memberi teguran berhubung kenyataan Vida yang mahu mengajak orang ramai dan peminat untuk sama-sama mengumpul saham akhirat dengan menonton muzik video 'Ku Ikhlaskan'.





         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: