26 March 2022

MAWI KONGSI KISAH PERNAH DAPAT 'OFFER' JADI BILAL, NAMUN TEKAD PILIH AF3



"Jujurnya, sekali melaungkan azan, boleh tahan bayaran diterima. Jadi, saya berbelah bagi. Saya fikir adakah emak saya rela kalau saya masuk AF3. Saya bertanya ketika emak sedang melipat kain baju. Emak tidak menjawab, tetapi melalui perbuatannya, saya simpulkan emak setuju.


"Saya tanya pula kepada arwah bapa. Arwah kata tidak mengapa. Arwah cakap apabila saya sudah jadi penyanyi, saya boleh jadi bilal kemudian nanti. Tetapi kalau saya jadi bilal, belum tentu saya boleh jadi penyanyi," itulah dedah penyanyi dan pengarah, Mawi yang berkongsi kisah dimana dia ditawarkan menjadi bilal di Felda Taib Andak, Kulai, Johor, ketika terpilih menyertai musim ketiga program realiti, Akademi Fantasia (AF3) pada 2005.

Berkongsi kisah itu pada majlis pelancaran bukunya, 'Mawi Dalam Lautan Manusia' di sini, petang tadi, Mawi, 41, berkata, arwah ibunya paling gembira apabila mendapat tahu dia ditawarkan menjadi bilal.

Mawi memberitahu, dia mempunyai dua pilihan sama ada memburu impian bergelar penyanyi atau menjadi bilal, namun, selepas berfikir panjang, dia tekad mengejar cita-cita dengan menyertai AF3.

Klik untuk gambar besar



Dalam pada itu, Mawi mengaku kehidupannya berubah selepas menyertai AF3: "Semua itu saya tulis dalam buku saya. Ini adalah kisah benar yang saya lalui," katanya.

Mengulas mengenai buku dihasilkan, Mawi berkata, naskhah itu berkisar pengalaman merentasi lautan manusia seperti judulnya 'Mawi Dalam Lautan Manusia'.

"Keluar dari AF3, hidup saya berubah. Hendak keluar memancing pun orang bercerita. Hendak keluar beli jagung di pasar malam pun berjam-jam sebab orang hendak bergambar. Saya masih ingat, setiap kali saya menyanyi di konsert AF3, saya mendapat jeritan luar biasa. Tambahnya lagi, buku itu ditulis sebagai panduan dan teladan kepada anak-anak muda yang mahu menjadi selebriti.

"Pada konsert pertama saya menyanyikan lagu Kekasih Awal dan Akhir, saya lupa lirik kerana terkejut dan terbuai dengan jeritan penonton di Stadium Shah Alam. Habis sahaja AF3, lokasi pertama yang saya pergi adalah Danga Bay, Johor kerana ada konsert yang perlu dijayakan.


"Malam itu saja, boleh kata dalam setengah juta orang membanjiri konsert. Bayangkan, saya hendak pergi belakang pentas pun mengambil masa lebih sejam. Saya melalui lautan manusia. Ramai bukan hendak salam, tetapi peluk cium melepaskan geram. Itu adalah pengalaman saya dalam lautan manusia yang perlu saya kongsi sebelum mati.

"Ini adalah buku yang anda perlu baca kalau anda bercita-cita hendak jadi selebriti. Selalunya, orang tengok dunia artis ini fasal popular dan dikenali saja. Hakikatnya, ada benda yang kita tidak nampak. Jadi, apa yang saya tulis boleh adalah persediaan untuk menjadi selebriti," jelasnya yang mengambil masa setahun menghasilkan buku berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Mawi berkata, dia akan tampil dengan filem berkisar kisah hidup pendakwah terkenal, Datuk Mohd Kazim Elias. Apa yang menarik, kata Mawi, filem itu bakal dibintangi Ustaz Kazim sendiri.

"Saya akan memulakan penggambaran filem ini pada 9 Mei depan. Ia adalah kisah benar yang disampaikan Ustaz Kazim dalam perjalanan dakwahnya. Cerita berkisar halangan yang dilalui Ustaz Kazim dan sebagainya," ujarnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: