26 March 2022

SELAMAT BERSALIN - NADYA SYAHERA & ANAK KETIGA MASIH DITAHAN DI HOSPITAL UNTUK PANTAUAN



"Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah dan syukur kepada Allah SWT dipermudahkan semuanya. Terima kasih atas doa dan sokongan dari keluarga, sahabat dan semua. Keadaan selepas bersalin isteri saya demam dan baby ke nicu. Doakan semoga semuanya selamat.


"Baby 38 minggu. Berat 3.3kg. Tarikh dan waktu 25/03/2022, 6.30am. Tempat di Hospital Shah Alam," kongsi suami kepada pelakon Nadya Syahera, Fizul Nawi yang menzahirkan rasa syukur kehadrat Illahi selepas isterinya dikhabarkan telah selamat melahirkan cahaya mata ketiga mereka tepat jam 6.30 pagi semalam di Hospital Shah Alam.

Menerusi hantaran yang sama, Fizul turut mendedahkan dia dan isteri telah pun bersepakat untuk menamakan anak mereka Barr Adam: "Selamat datang ke dunia muhamad BARR ADAM BIN MOHAMAD HAFIZUL," ujarnya lagi menerusi laman Instagram miliknya.

Klik untuk gambar besar



Menurut Fizul, dia amat gembira kerana segala urusan isterinya sewaktu melahirkan bayi lelaki seberat 3.3 kilogram itu telah pun dipermudahkan tanpa sebarang komplikasi.

Bagaimanapun, bapa kepada tiga orang cahaya mata ini memaklumkan Nadya telah mengalami simptom demam manakala bayinya pula terpaksa dirawat di Unit Penjagaan Rapi Neonatal (NICU). Lantaran itu, Fizul berharap agar semua pihak dapat mendoakan semoga anak dan isterinya itu akan sentiasa berada dalam keadaan yang baik.



Sementara itu, menerusi perkongsian di Instagram stories pula, Nadya menyifatkan doanya untuk bersalin dengan mudah telah pun dimakbulkan Allah SWT: "Allah maha baik. Hari-hari minta permudahkan urusan bersalin. Memang Allah bagi rezeki. Mudah bersalin kali ini," luahnya gembira.

Melihat di ruangan komen, rata-rata netizen turut tumpang gembira selain turut memberikan kata-kata semangat buat Fizul dan seluruh ahli keluarganya.

Untuk makluman, Fizul dan Nadya telah mendirikan rumah tangga mereka pada tanggal 25 September 2015. Hasil perkongsian hidup, pasangan itu telah terlebih dahulu dikurniakan dua orang cahaya mata, Aleena Rose, 4, dan Mohamad Dayyan, 3.




         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: