21 March 2022

NETIZEN KAGUM VOKAL VIDA MAKIN BAIK, SAMPAI MENGALIR MATA - AINA ABDUL TAK AMBIL HATI DIBANDINGKAN



Akhirnya muzik video lagu baharu usahawan kosmetik Datuk Seri Vida (DSV) berjudul 'Ku Ikhlaskan' dilancarkan pada pukul 3 pagi Isnin selepas 10 jam tertangguh kerana masalah teknikal.


Muzik video 'Ku Ikhlaskan' meraih perhatian ramai apabila Vida tampil dengan lapan kostum yang unik dengan solekan artistik. Menerusi MV lagu ciptaan Amy Ukays dan Vida ini turut menampilkan pembantu peribadinya Qush sebagai hero.

Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman, 50, meluahkan rasa syukur dan terharu dengan sambutan orang ramai terhadap lagunya itu.

"Sepatutnya lancar pukul 5 petang semalam tapi ada masalah teknikal. Setelah sekian lama menunggu akhirnya saya lancar pukul 3 pagi. Saya terharu dengan sambutan, ramai yang ikhlas beri komen. Saya tak pernah terima kata-kata seindah ini, saya seperti terima kasih sayang daripada semula," ujarnya.

Klik untuk gambar besar



Menurut Vida, kos lagu dan MV tersebut menelan belanja RM400,000 dan penggambaran selama lima hari dilakukan di sekitar Kuala Lumpur dan Genting Highland.

Vida juga mengharapkan MV tersebut mendapat tiga juta tontonan dalam tempoh sehari. Berkongsi lanjut tentang MV ini, kata Vida, ia bukan sekadar kisah peribadi tapi juga sarat dengan emosi yang pernah dialaminya.

"Keperitan, kecaman bertubi-tubi saya hadapi, sekecil perkara diambil kira, sebesar hama ditimbang tara. Apa yang saya paparkan ini duka lara yang saya sendiri alami," tuturnya.

Sementara itu, penyanyi Aina Abdul, 29, tidak melihat corak fesyen terbaru Vida cuba menirunya apabila ramai netizen membandingkan mereka.



Penyanyi lagu 'Sepi' itu berkata, dia sebenarnya tidak ambil hati apabila ada usikan yang menggabungkan gambarnya dengan usahawan itu sebagai bahan lawak.

"Tiada istilah 'copycat' atau apa, masing-masing terinspirasi daripada seseorang. Saya sendiri pun ambil inspirasi daripada orang lain. Saya tak rasa beliau tiru atau apa. Saya ternampak juga usikan itu daripada peminat. Saya rasa ia hanya gurau-gurau manja saja.

"Tak ada sesiapa pun ambil perkara itu serius. Jadi, saya tak kisah apa orang nak cakap. Namun, saya tahu apa saja DSV lakukan, dia tunjukkan keazaman tinggi," katanya.



Aina juga cukup menyanjung tinggi Vida sebagai ikon wanita terbaik. Bagi Aina, dia melihat banyak nilai positif dipelajarinya daripada usahawan terbabit.

"Saya sangat menghormatinya. Saya memang sentiasa sukakan DSV kerana dia seorang yang sangat berani. Dia juga wanita yang kuat. Apa yang dia cuba lakukan, saya belajar bagaimana mahu jadi seperti itu. Mungkin orang di luar nampak yang lawak-lawak saja, tapi saya belajar sisi positifnya. Apa juga yang dia lakukan, dia menjadi diri sendiri," katanya.

Perbandingan fesyen mereka mula diperkatakan beberapa minggu lalu apabila Vida tampil dengan solekan unik di program Big Stage 2022. Kemudian, fesyennya dalam lagu baharu 'Ku Ikhlaskan' mendapat pelbagai reaksi.

Umum tahu Aina sudah mencetuskan fenomena sendiri apabila kerap tampil dengan fesyen unik dan di luar kotak. Justeru, ada beranggapan Vida mengikut jejaknya cuba bergaya pelik.







         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: