13 March 2022

"ORANG DOAKAN, SAYA TIDAK AMINKAN, MENGIYAKAN ATAU MENIDAKKAN..." - SHILA AMZAH



Semua sedia maklum, penyanyi Shila Amzah dan pelakon Sharnaaz masing-masing berstatus solo. Dek kerana itu, ramai juga dalam kalangan peminat yang mengusik dan mendoakan agar mereka kembali bersama selepas Sharnaaz memuji nyanyian Shila menerusi lagu 'Pelukan Angkasa' bersama SOG di Anugerah Juara Lagu (AJL) yang ke-36 baru-baru ini.


Ketika ditanya berhubung hal tersebut, Shila atau nama sebenarnya, NurShahila Amir Amzah, 32, mengakui tidak menyimpan dendam terhadap sesiapa, termasuklah Sharnaaz yang dahulunya pernah berkongsi kasih dengannya sebelum hubungan mereka dilanda badai sekitar 2013.

Jelas pelantun lagu 'Patah Seribu' itu lagi, hubungannya dengan Sharnaaz berada dalam terma yang baik meskipun dengan segala yang berlaku sebelum ini.

Klik untuk gambar besar



"Baguslah jadi suportif dan positif. Saya tak musuh dengan sesiapa, elok sahaja. Semua orang pun berbaik-baik, Alhamdulillah. Hubungan kami baik dan tidak mempunyai masalah. Memang tidak ada masalah langsung.

"Orang doakan, saya tiada aminkan, mengiyakan atau menidakkan sebab kata-kata kita ini adakala bawa musibah terhadap diri sendiri. Jadi, saya terima segalanya dan pandang semua secara positif," tutur Shila.

Sementara itu, mengulas lanjut tentang pendekatannya agak berdiam dalam industri hiburan yang bersifat terbuka, Shila mengakui perjalanan seninya sebelum ini agak terhad memandangkan bekerja bersama keluarga. Dedah wanita berstatus ibu tunggal itu, segala kepincangan yang berlaku sebelum ini bukanlah 100 peratus datang daripada keputusan sendiri.


"Sebelum ini, sebab saya bekerja dengan keluarga. Sekarang ini saya dapat banyak kebebasan untuk menghasilkan karya sendiri dan memilih jalan yang saya mahukan. Kadang-kadang bisnes dengan keluarga tak bagus. Saya berterima kasih untuk ibu bapa tetapi untuk usia sekarang, I am ready to rock.

"Sebenarnya, sebarang perancangan untuk Shila Amzah sebelum ini bukanlah 100 peratus datang daripada saya. Untuk waktu sekarang, saya cuma boleh cakap ini adalah permulaan yang baik untuk saya berkarya dan lebih diterima orang ramai. Sekarang ramai yang positif, susah nak jumpa komen negatif dalam laman sosial.

"Semua orang sangat baik dan menyokong saya. Saya rasa cukup selesa dengan apa yang saya ada sekarang. Alhamdulillah. Saya memang begini dan sebelum ini, orang tak dapat lihat sisi saya yang sekarang ini sebab sebelum ini 'tertutup'. Sekarang dah 'terbuka', Insya-Allah orang dah mula nampak dan saya akan buat yang terbaik," katanya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: