14 March 2022

SARJANA SENI PERSEMBAHAN - VANIDAH IMRAN AKHIRNYA BERJAYA GENGGAM SELEPAS EMPAT TAHUN



"Pergelutan ini bukan mudah, namun saya bersyukur berjaya menghabiskan pengajian. Saya mempunyai rakan yang berjuang bersama seperti Hasif Roslan dan Mohamad Shukri Mohd Tahir. Kami sudah berjanji akan melalui apa juga cabaran dalam menamatkan pengajian sarjana ini. Kami saling memberi motivasi dan memberi semangat antara satu sama lain.


"Saya bertuah tidak pernah putus sokongan daripada rakan lain seperti Profesor Madya Aminah Rhapor, penyelia, Dr Marlenny Deenerwan, keluarga dan anak-anak," demikianlah kata pelakon Vanidah Imran, 48, yang akhirnya berjaya menggenggam Sarjana Seni Persembahan (Drama), Universiti Malaya selepas empat tahun menghabiskan pengajian.

Vanidah antara 7,682 pelajar yang menjadi penerima ijazah pada Majlis Konvokesyen Ke-61, Universiti Malaya (UM) di Dewan Tunku Canselor UM, kelmarin.

Klik untuk gambar besar



Vanidah berkata, perjalanan empat tahun bagi melengkapkan tempoh pengajian itu bukan sesuatu yang mudah. Apatah lagi, perlu mengimbangi tanggungjawab sebagai ibu, pensyarah Kolej Seni Kreatif, Universiti Teknologi MARA (UiTM), tuntutan kerjaya seni serta dan menelaah pengajian.

Terdahulu, Vanidah terlebih dahulu bergelar graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Inggeris pada 2015 di Universiti Terbuka Malaysia (OUM).

Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-20 itu berkata, dua permata hatinya, Mikail Aimran dan Maryam Rashika amat memahami tuntutan kehidupan.



"Anak-anak tahu bila saya sibuk dan perlu melunaskan pelbagai tuntutan kerja. Contohnya, jika saya sibuk menyiapkan tesis, tarikh akhir serahan tugasan dan sesi virtual. Jika saya tidak sempat memasak, anak-anak pandai menyediakan makanan sendiri atau buat tempah," ujarnya.

Vanidah mengakui, betapa ruginya tidak menyambung pengajian ketika masih muda: "Apabila belajar pada usia melewati angka empat, ditambah pula tuntutan tanggungjawab dan komitmen sebagai ibu, ia bukanlah fasa mudah.

"Berbanding usia muda, kurang bebanan. Namun, saya terima segala-galanya dengan lapang dada. Menyambung pengajian ketika anak masih kecil membuatkan saya lebih kuat. Sebanyak mana tekanan dan tanggungjawab, namun suntikan semangat dan motivasi orang sekeliling membuatkan saya berjaya mengharungi pertarungan ini," tuturnya.






         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: