14 March 2022

BERJAYA KUMPUL DANA - PUTRA AMARIS BAKAL MEMBINA RUMAH ASNAF SEMPENA RAMADAN



Sempena sambutan Ramadan ini, pelakon Putra Amaris bakal membina sebuah rumah bagi golongan asnaf menerusi Program #Samasamakenyang – Infaq Ramadan yang dianggarkan keseluruhan kos RM80,000 hingga RM100,000.


"Program ini dijalankan bersama Pertubuhan Kebajikan Dapur Pasak Kuala Lumpur dan memilih sebuah keluarga asnaf yang sudah berada dalam senarai kami. Saya sudah lama menyimpan niat nak buat rumah untuk golongan asnaf atau yang sangat memerlukan. Tapi kalau nak buat sendiri, memang tak mampu. Kebetulan rakan saya turut mempunyai hasrat sama.

"Alhamdulillah, tercetus idea nak buat satu rumah untuk golongan asnaf pada bulan Ramadan. Pembinaan sebuah rumah ini dianggarkan RM80,000 hingga RM100,000. Insya-Allah projek rumah ini akan bermula pada 1 Ramadan selama lebih kurang 26 hingga 30 hari. Jadi, pada 1 Syawal keluarga itu boleh menyambut hari raya di rumah baharu.

Klik untuk gambar besar



"Buat masa ini kami sudah ada data golongan ini. Kami akan pilih satu keluarga yang betul-betul memerlukan rumah. Pemilihan lokasi sekitar Lembah Klang," katanya ketika ditemui media pada sidang media Qaseh Infaq Ramadan #Samasamakenyang, semalam.

Menurut Amaris atau nama sebenarnya Amran Ismail, 37, menerusi program sama mereka juga mewujudkan program baharu iaitu Penuhkan Peti Ais dengan menyasarkan lebih 1,000 rumah di sekitar Lembah Klang.



"Anggaran untuk kos barangan keperluan basah dan kering sekitar RM200 sehingga RM500. Alhamdulillah, tahun ini saya menerima banyak tajaan dan ramai yang hubungi saya untuk memberikan sumbangan. Tapi kami sangat mengalu-alukan mana-mana pihak, jutawan atau dermawan yang nak salurkan sumbangan terutama dari segi kewangan atau barangan keperluan.

"Kami sendiri yang akan pergi terus ke rumah asnaf dan orang susah. Kami akan menyusun dan memenuhkan peti ais mereka dengan ikan, ayam, sayur-sayuran, buah-buahan, air, pek makanan 'ready to cook' dan banyak lagi. Selain itu, barangan keperluan asas juga kami akan beri sekali seperti beras, telur dan sebagainya. Inilah barang keperluan yang sentiasa ada sebagai bekalan di bulan Ramadan ini.

"Saya berharap inisiatif ini dapat mengurangkan beban mereka sepanjang Ramadan ini dan juga sedikit sebanyak dapat membantu mereka dalam mengharungi kehidupan seharian," katanya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: