16 March 2022

'SUAMIKU LELAKI PENDOSA' TERIMA TEGURAN PEGUAM - KATA KELIRUKAN PENONTON, SALAH LETAK HUKUM ANAK TAK SAH TARAF



Nampaknya drama 'Suamiku Lelaki Pendosa' yang sebelum ini dikritik apabila bercerita kisah lelaki bernafsu songsang itu kini terus menerima kritikan apabila hukum berkaitan anak tak sah taraf yang dipaparkan dalam karya berkenaan pula dikatakan mengelirukan masyarakat.


Terkini, peguam syarie Fahmi Ramli, 32, pula yng tampil menegur kelemahan drama berkenaan dengan mengatakan, penulis skrip dan pengarah seharusnya membuat kajian terlebih dahulu agar tidak menimbulkan keraguan kepada penonton.

"Saya mohon secara tegas isu ini tidak diambil mudah. Berapa ramai yang menonton drama ini mendapat info yang salah gara-gara skrip yang tidak dikaji.

"Saya hairan bagaimana drama yang dikatakan sudah disemak oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) boleh terlepas pandang isu sebegini. Kalau saya salah, buktikan secara sah ikut undang-undang dalam syarak.

"Penonton akan keliru dan sukar untuk saya bayangkan apabila ramai yang akan terpesong apabila mengambil pengajaran daripada drama sebegini," ujarnya ketika dihubungi mStar.

Terdahulu, dalam dua perkongsian di Facebook miliknya, Fahmi berkongsi secara terperinci tentang hukum dalam meletakkan status anak tidak sah taraf.

Menurut Fahmi, watak Cahaya Malaika yang dilakonkan oleh Sophia Barakbah bukanlah anak tidak sah taraf kerana dia dilahirkan oleh ibunya dalam tempoh perkahwinan.

Klik untuk gambar besar



Dalam salah satu episod drama terbabit, muncul watak Datuk Afnan lakonan Edika Yusof yang mengaku bapa kandung kepada Cahaya kerana pernah menjalinkan hubungan dengan ibu Cahaya.

Dalam kes ini Cahaya masih anak sah kepada watak Firdaus (Fauzi Nawawi) yang berkahwin dengan Wahida (Aleza Shadan) ketika wanita itu sedang hamil.

Sementara itu, sebagai seorang peguam syarie juga, Fahmi menasihatkan sesiapa sahaja yang mahu menulis karya atau sebarang bentuk penulisan berkaitan hukum Islam haruslah mendapat pandangan dan nasihat pakar.

"Kepada sesiapa sahaja yang menerbitkan karya penulisan atau penyiaran, saya nasihatkan supaya rujuk dahulu kepada yang pakar apabila bercerita tentang hukum Islam.

"Jika isu sebegini salah diterjemahkan, ia akan menjadi rujukan kepada penonton. Saya juga terbuka untuk berkongsi pendapat dengan ilmu yang saya ada supaya orang cakna tentang hukum yang sebenarnya," jelasnya.

Sebelum ini, 'Suamiku Lelaki Pendosa' ditegur ustazah Asmak Husin yang berpendapat drama tersebut berunsur negatif dan tidak wajar di tayangkan gara-gara memaparkan hubungan percintaan kaum sejenis.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: