24 March 2022

WISMA & YAYASAN SUDAH ADA - AERIL, WAWA BERHASRAT BINA MASJID PULA, HARAP DIPERMUDAHKAN



Pasangan selebriti dan usahawan terkenal Aeril Zafrel dan Wawa Zainal kini berhasrat mahu membina masjid pula selepas berjaya memiliki wisma perniagaan sendiri Wawa Cosmetic HQ yang bernilai RM3.2 juta. Hasrat mereka akhirnya bakal terlaksana apabila Yayasan Ibnu Sunari akhirnya diluluskan.


Meluahkan rasa syukur, Wawa atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin, 31, berkata, yayasan itu ditubuhkan bagi meneruskan satu lagi impian mereka suami isteri iaitu pembinaan masjid di Kampung Rengit, Batu Pahat, Johor yang tertunda sejak tahun 2020.

"Masjid yang kami rancang itu belum didirikan sebab tidak ada yayasan. Nak buat masjid di sana tak boleh sewenang-wenangnya kena buat. Kena ada satu akaun asing atau yayasan, kalau atas nama syarikat susah. Jadi, itu yang kami tubuhkan Yayasan Ibnu Sunari sempena nama bapa Aeril.

"Yayasan ini sudah dapat kelulusan minggu lalu, selepas ini nak buka akaun dan baru boleh memulakan pembinaan masjid di lokasi sama. Dua tahun perancangan ini tertunda. Nak buat baik ini ada saja halangan dan rintangan, bukan senang juga. Saya minta sangat dipermudahkan. Dua tahun rasa macam susahnya nak buat perkara baik. Ada saja halangan, kadang-kadang putus asa juga.

Klik untuk gambar besar



"Apa pun Alhamdulillah, saya lega apabila satu satu perkara selesai. Wisma sudah ada, yayasan pun sudah, selepas ini masjid pula. Kemudian baru fikir nak siapkan impian lain macam nak buat banglo pula," katanya.

Jelas Wawa lagi, kos pembinaan masjid yang mampu memuatkan hampir 400 jemaah itu sudah bertambah dari RM1.4 juta kepada RM2.5 juta disebabkan keadaan semasa C0V1D.

"Rekaan masjid dan pereka semua sudah siap bayar. Dulu kami ada maklumkan kos pembinaan dalam RM1.4 juta, tapi selepas C0V1D, kami diberitahu semua harga naik dua kali ganda dan menjadikan kos kini RM2.5 juta. Saya memang sudah asingkan RM1.4 juta, tapi mungkin selepas ini kami akan buka pada orang ramai jika ada yang mahu turut sama menyumbang," ujarnya.

Bagi Aeril, pembinaan masjid itu adalah niat yang sebolehnya ingin direalisasikan: "Nazar tak ada, tapi ini niat saya. Bagi saya, saya paling risau kalau perkara ini tak siap dan kalau saya pergi dulu. Sekurang-kurangnya kalau saya sudah meninggal dunia, ada benda saya boleh bangga dan bawa ke sana.


"Nama masjid belum fikir. Kalau tak boleh ubah, nama sama saja pun okay. Selain untuk bangunkan masjid, yayasan yang ditubuhkan juga nak buat agihan bantuan lebih besar. Sebelum ini ada juga buat, tapi tak besar macam yayasan lain. Jadi nak buat macam itu, seimbangkan bisnes dan bantu orang," tuturnya.

Dalam perkembangan lain, Wawa dan Aeril bakal melancarkan produk Wawa Fantasy Dream pada 25 Mac ini. Menerusi projek itu, pasangan suami isteri itu turut berhabis dari segi pemasaran dengan menghasilkan video muzik, lagu dan banyak lagi.

"Ini adalah edisi kedua, yang pertama pada 2019. Kami sudah buat video muzik (MV) dan saya menyanyikan semula (cover) lagu Snow White tapi versi Melayu.

"Apa yang dibuat semua ini adalah sempena pelancaran produk ini. Edisi pertama habis dalam masa seminggu, ramai tak dapat. Jadi kali ini kita bagi peluang pada mereka yang tak dapat. Sebenarnya sudah lama rancang untuk edisi kedua ini, tapi keadaan tak izinkan. Kali ini buat 80,000 unit," katanya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: