29 April 2022

AL-FATIHAH - BAPA SHARIFAH ZARINA KEMBALI KE RAHMATULLAH KETIKA SOLAT SUNAT SEBELUM ISYAK



"Saya baru sahaja dapat berita ayahanda saya, Wan Hasan Syed Jamil Aldadiri Aijalani telah kembali ke rahmahtullah. Bapa saya berada di masjid untuk menunaikan solat Isyak dan Terawih, arwah rebah ketika solat sunat.


"Mohon doa untuk ayah saya," demikian kata penyanyi Sharifah Zarina menerusi laman Instagram dimana dia berkongsi khabar duka bapanya, Wan Hasan Syed Jamil Alqadiri Aijilani, 69, telahpun menghembuskan nafas terakhir pada Khamis.

Penyanyi lagu 'Langit Ke Tujuh' itu ketika dihubungi berkata, bapanya yang menetap di Kuching, Sarawak meninggal dunia selepas rebah ketika ingin menunaikan solat sunat dua rakaat sebelum masuk waktu Isyak.

Difahamkan, bapa Sharifah Zarina disahkan meninggal dunia pada jam 8.30 malam, semalam di Masjid Ar Rahman, Kuching Family Park, Petra Jaya, Kuching, Sarawak.

"Raya ni dia minta saya belikan baju 'pagoda' sebab nak pakai baju dalam. Saya sudah beli dan sepatutnya balik esok. Tapi, dia tak tunggu saya. Ayah baru nak angkat takbir, dia terus rebah. Waktu itu nadi ada lagi. Tapi belum sempat ambulans sampai ayah sudah meninggal.

Klik untuk gambar besar



"Ayah ada penyakit darah tinggi. Tapi dia pandai kawal dan ubat sentiasa makan. Dia juga tak pernah dimasukkan hospital," jelasnya yang dipetik sebagai berkata kepada Harian Metro.

Menurut Sharifah Zarina, kali terakhir dia berjumpa bapanya pada Februari lalu dan mesej mengenai Lailatul Qadar adalah perbualan terakhir mereka yang dihantar bapanya di kumpulan (Grup) WhatsApp, petang semalam.

"Pada Februari lalu saya ada balik kampung. Tak sangka itu pertemuan terakhir kami. Petang semalam dia berkongsi mengenai Lailatul Qadar di Grup WhatsApp. Kawan-kawan ayah cakap dia juga hantar di banyak grup mesej dan secara peribadi.

"Malah, ayah siap minta maaf pada kawan-kawan, dia cakap mungkin ini Ramadan terakhir buat dirinya. Saya ingat lagi, dia selalu cakap pada kami adik beradik, dalam solat minta doa supaya mati dalam keadaan mudah, di tempat baik dan malam Jumaat.



"Alhamdulillah, ayah dapat semua itu. Dia meninggal menjadi buah mulut orang. Dia banggakan kami pada saat akhir. Kalau nak tahu, dia sangat istiqomah dalam ibadah. Penat mana dia, tak pernah tinggal solat sunat tahajud," tuturnya.

Tambah Sharifah Zarina, jenazah bapanya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang selepas solat Jumaat, hari ini.

"Jenazah ayah dikebumi selepas solat Jumaat. Saya terkejut apabila adik cakap, ayah dapat kubur sebelah bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak, Allahyarham Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng.

"Difahamkan di situ untuk orang-orang kenamaan dan pembesar negeri. Tapi ayah saya orang biasa saja. Saya pun tak tahu apa lagi amalan dia yang lain dan kebaikan dibuat. Hari dia pergi adalah hari yang orang tunggu," ujarnya.




         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: