28 April 2022

BERMULA 19 OKTOBER DEPAN - BICARA KES DADAH PENYAMPAI RADIO ISMA HALIL



Perbicaraan kes penyampai radio Ismahalil Hamzah, 49, yang didakwa atas pertuduhan mengedar dadah jenis Kanabis, Ogos tahun lepas, telah ditetapkan tiga hari bermula 19 Okt ini oleh Mahkamah Tinggi di sini.


Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan 19, 20 dan 31 Okt untuk perbicaraan, selepas peguam yang mewakili Ismahalil Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar, memohon tarikh bicara ketika sebutan kes itu, hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Norashikin Ibrahim memaklumkan kepada mahkamah, pihaknya bercadang untuk memanggil enam hingga tujuh saksi pendakwaan untuk memberi keterangan.

"Pada prosiding hari ini, pendakwaan juga telah menyerahkan dokumen berkaitan perbicaraan kepada pihak pembelaan," katanya.

Ahmad Zaharil mengesahkan perkara tersebut, selain memaklumkan pihaknya akan menulis surat kepada mahkamah untuk mendapatkan tarikh sebutan baharu sekiranya terdapat representasi atau perkembangan terbaru mengenai kes.

Ismahalil mengaku tidak bersalah atas dakwaan mengedar dadah jenis kanabis anggaran berat 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju, di sini pada 5.35 petang, 27 Ogos 2021.

Dia dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: