26 April 2022

"ALHAMDULILLAH, SEKARANG MAK DAH DIMASUKKAN KE ICU DARI WAD BIASA" - ANAK ARIPAH DAMANHURI



Pelakon veteran Aripah Damanhuri, 73, kini dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) dari wad biasa bagi pemantauan lanjut kesihatannya oleh doktor, selepas menunjukkan sedikit tindak balas positif.


Anak kepada Aripah iaitu, Fais Nurpais Ismail ketika dihubungi berkata, dia meluahkan rasa syukur apabila doktor memaklumkan perkembangan ibunya yang sudah menunjukkan sedikit tindak balas sekali gus ada 'improvement' berbanding Sabtu lalu.

"Alhamdulillah, sekarang mak dah dimasukkan ke ICU dari wad biasa untuk pemantauan lebih rapi oleh doktor. Sekurang-kurangnya ada petanda yang bagus sebab doktor nampak mak macam ada harapan untuk sihat dan 'survive'.

"Sekarang doktor juga fokus untuk rawat mak secara intensif. Malah, dari dua ubat untuk kuatkan jantung yang diberikan doktor sebelum ini, dah jadi satu ubat saja serta dos juga dikurangkan. Jantung mak pun dah boleh bergerak dengan baik.

Klik untuk gambar besar



"Selain itu, doktor juga sudah menghentikan ubat tidur untuk mak dan kini dalam proses nak sedarkan dia secara semula jadi. Tapi, tak tahulah bila mak boleh sedar sama ada hari ini, esok, lusa atau bila-bila masa, memang tak boleh dijangka," tuturnya yang dipetik sebagai berkata kepada Harian Metro.

Tambah Fais, kini dia dan keluarga akan memantau perkembangan kesihatan ibunya daripada makluman terkini yang dikongsikan oleh doktor dari semasa ke semasa.

Ujarnya, setakat ini ada perkembangan yang bagus daripada ibunya tapi, masih lagi terlalu jauh untuk memikirkan rawatan lain yang perlu dilakukan pada masa akan datang.


"Apapun, saya ucapkan terima kasih pada semua yang mendoakan kesihatan ibu saya dan sentiasa bertanya khabar mengenai perkembangan terkininya. Hanya Allah saja yang membalasnya," katanya.

Terdahulu, Aripah yang juga kakak kepada pelakon Normah Damanhuri dimasukkan ke HKL pada Jumaat lalu selepas paras oksigen dalam badannya menurun dan terpaksa ditidurkan.

Difahamkan juga, Aripah mengalami jangkitan kuman dalam darah dan sudah merebak sehingga menggganggu fungsi organ tertentu di dalam badannya termasuk di bahagian buah pinggang.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: