17 April 2022

DAPAT TUNAI PUASA TAHUN INI DIUSIA 89 TAHUN - MAT SENTOL BERSYUKUR MASIH DIBERIKAN KESIHATAN YANG BAIK



"Setiap hari saya bangun sahur, tiada masalah untuk bangun pagi kerana memang tidak menolak apabila diberikan makan. Makanan kegemaran saya adalah mi Siam Singapura, cuma saya masih belum berpeluang untuk makan mi itu sepanjang bulan puasa ini.


"Kesihatan saya masih baik dan tiada sebarang penyakit yang berbahaya cuma kadang-kdang mudah terasa penat kerana faktor usia," kata pelakon dan pelawak veteran, Mat Sentol yang akui tiada masalah menjalani ibadah puasa pada Ramadan kali ini, biarpun umurnya sudah 89 tahun.

Mat Sentol atau nama sebenarnya, Abdul Rashid Yahya berkata, beliau bersyukur kerana masih diberikan kesihatan yang baik bagi menunaikan puasa tahun ini. Tidak lekang dengan senyuman dan gaya yang menghiburkan, Mat Sentol mengakui masih lagi menulis skrip bagi mengisi masa terluang.

"Saya masih lagi menulis skrip apabila ada masa terluang, cuma sudah tidak sekerap dahulu. Selain itu saya juga bersedia terima undangan untuk berlakon sekiranya ada mana-mana pihak berminat.

"Tapi janganlah beri watak serius kerana sejak kecil lagi saya dah biasa buat orang ketawa, jadi watak seperti itu sudah sebati dengan jiwa," katanya yang turut berharap industri perfileman negara terus maju.

Sementara itu, Annuar Musa meluangkan masa kira-kira 30 minit beramah-mesra dengan anak kelahiran Muar itu yang pernah membintangi beberapa filem antaranya 'Mat Tiga Suku', 'Mat Bond', 'Mat Toyol', 'Mat Karong Guni' dan 'Mat Magic'. Annuar berkata aspirasi perjalanan hasil karya Mat Sentol harus dijadikan aset dan panduan kepada generasi muda.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkaitan seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) agar mengambil langkah tertentu untuk meletakkan kedudukan seniman negara itu di tempat yang sepatutnya.

"Mat Sentol adalah legenda hidup dan wira tidak didendang yang harus kita hargai. Dengan adanya sambutan Hari Seniman setiap 22 Mac, kita harap seniman-seniman seperti Mat Sentol ini dikenang dan dihargai," katanya yang turut menyampaikan sumbangan berupa wang tunai dan juga pakaian kepada seniman itu.

Dalam pada itu, anak lelaki Mat Sentol, Roslee Rashid, 60, pula memberitahu, tidak sukar untuk menjaga bapanya. Katanya, banyak aktiviti harian bapa masih boleh dilakukan sendiri, kecuali menyediakan makanan dan membawanya keluar sekiranya ada keperluan.

"Pada Ramadan ini, sudah beberapa kali saya membawanya ke bazar Ramadan, tetapi saya minta dia tunggu di dalam kereta sementara saya yang keluar membelikan juadah yang dimahukan.

"Ini kerana kebiasaannya apabila orang nampak dia, mereka akan mahu bergambar dan bersalaman, malah bazar Ramadan sentiasa penuh dan ramai orang. Saya berbuat demikian kerana bimbang kesihatannya, saya ambil langkah berjaga-jaga," ujarnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: