23 April 2022

"HAYAT SAYA AKAN BERAKHIR PADA JUN DEPAN" - KELUARGA BERI KEKUATAN, ROSLAN AZIZ TETAP POSITIF & REDA



Penerbit album, penggubah lagu dan jurutera bunyi terkenal tanah air, Roslan Aziz, 60, yang kini menghidap kanser limfoma tahap empat itu berkata, walaupun diberi ujian berat ini, dia tetap positif walaupun doktor menjangkakan tempoh hayatnya hanya bertahan selama enam bulan. Tambah Roslan, dia sentiasa mengingatkan dirinya harus menerima apa saja kemungkinan dengan reda.


"Tanpa isteri dan anak-anak, sukar untuk saya lalui ujian ini. Keluarga itu sangat penting. Saya memiliki isteri dan anak-anak yang peka dan mereka memainkan peranan yang penting. Kehadiran mereka membuatkan saya ada semangat untuk melalui ujian ini. Kanser adalah satu ujian yang amat pedih, tapi saya kena laluinya.

"Saya diberitahu hanya mempunyai masa sehingga enam bulan untuk hidup. Jika dihitung, hayat saya akan berakhir pada Jun depan. Sepanjang hidup, apa yang saya kehendaki semuanya sudah dilalui dan dilakukan. Saya tahu akan mati, jadi saya kena buat persiapan. Tiada apa-apa yang perlu ditangisi, cuma saya tidak akan berjumpa isteri, begitu juga dengan anak-anak.

Klik untuk gambar besar



"Sudah tentu saya sedih apabila doktor mengesahkan saya menghidap kanser. Namun, saya tetap bersyukur walaupun didiagnos kanser, keadaan saya tidak teruk. Saya sedar hidup yang saya lalui sangat singkat kerana penghujung kanser adalah mati," katanya ketika ditemubual menerusi panggilan telefon dalam program Malaysia Hari Ini (MHI) di TV3, semalam.

Menurut Roslan, kehadiran isteri, Sopphilea Hamid dan dua anak mereka, Megat Ali Aziz dan Megat Zayn Hamza Aziz serta dua anak daripada bekas isteri iaitu Wan Nur Khaleda Aziz dan Megat Abdul Majid Aziz yang peka dengan keadaan kesihatannya membuatkan dia bersemangat.

Roslan yang juga bekas suami Datuk Sheila Majid kini sudah 23 tahun hidup bersama isterinya, Sopphilea yang banyak berkorban dan memberikan semangat buatnya menghadapi setiap ujian besar.



"Apabila isteri peka dengan keadaan saya, secara tidak sedar semangat datang dengan sendirinya. Melihat mereka begitu memberikan perhatian membuatkan saya menjadi lebih bersemangat berdepan ujian penyakit ini," ujarnya.

Bercerita mengenai detik awal dia disahkan menghidap kanser, Roslan berkata, dia mengalami sakit perut yang agak berat pada hujung tahun lalu. Roslan yang kini sedang menjalani rawatan kimoterapi mendedahkan, beliau disahkan menghidap penyakit kanser limfoma Januari lalu selepas menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh termasuk ujian darah dan pemeriksaan pengimejan resonans magnetic (MRI).

"Saya mengalami sakit perut yang agak berat pada penghujung tahun lalu. Kemudiannya, saya bertemu doktor dan diminta melakukan beberapa ujian. Melihat keadaan tidak bermaya, saya dicadangkan menjalani pemeriksaan menyeluruh termasuk ujian darah dan MRI. Sebulan kemudian, saya disahkan menghidap kanser limfoma. Namun, kanser melepasi tahap empat dalam tempoh yang sangat singkat," jelasnya.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: