16 April 2022

KES LANGGAR KONTRAK, PULANG AWAL KE MALAYSIA - BEN AMIR JELAS TINDAKANNYA ITU ATAS FAKTOR KESIHATAN & KESELAMATAN



Pelakon Ben Amir akhirnya tampil membuka mulut bagi menjelas keadaan sebenar, selepas kes saman pelanggaran kontrak membabitkannya dengan syarikat produksi Elisa Vision Sdn Bhd ketika membintangi drama 'Demi' di Inverness, Scotland pada awal Mac 2020, diselesaikan secara baik pada Khamis.


Menurut Ben atau nama sebenarnya Muhammad Amir Sabaruddin, 32, dia tidak pernah lari daripada tanggungjawab dan keputusannya pulang ke Malaysia ketika itu atas faktor kesihatan dan keselamatan.

"Saya menegaskan bahawa saya tidak pernah lari dari tanggungjawab. C0V1D akhirnya mengajar saya bahawa tiada siapa yang menang. Keputusan saya untuk pulang ke Malaysia adalah disebabkan faktor kesihatan dan keselamatan.

"Pandemik ini tidak berpihak dan saya percaya bahawa adalah pilihan kita untuk membuat apa yang perlu apabila dipaksa untuk berada di dalam keadaan sedemikian. Saya bagaimanapun bersedia bergerak ke hadapan. Dengan harapan yang tinggi saya harap semua pihak akan menghormati keputusan yang dibuat kedua-dua pihak," jelasnya menerusi kenyataan rasmi yang dimuatnaik di laman sosial.

Klik untuk gambar besar



Dalam kenyataan sama, Ben juga menegaskan bahawa isu itu sudah diselesaikan secara baik. Pada masa sama, Ben memaklumkan dia juga bersedia untuk bekerjasama dengan pihak Elisa Vision Sdn Bhd sekiranya ada ruang sekali lagi.

"Dalam bulan yang penuh keberkatan ini, kedua-dua pihak sudah memilih untuk mengetepikan perbezaan dan kebanggaan kami. Satu kompromi sudah dicapai di antara kedua-dua pihak pada hari pertama kes itu seharusnya dibicarakan.

"Satu persetujuan sudah direkodkan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen tanpa sebarang pengakuan liabiliti. Ia jelas bermaksud bahawa pihak mahkamah tidak membuat apa-apa penemuan bersalah terhadap saya. Oleh itu, saya menegaskan sekali lagi bahawa pertikaian itu sudah diselesaikan secara damai dan seperti yang sudah juga saya maklumkan di perkarangan mahkamah, ia diselesaikan dengan cara baik'.



"Sekiranya anda peminat dan penyokong sejati... saya harap anda dapat menerima kedua-dua belah pihak berdasarkan merit kami. Saya tidak mempunyai sebarang perasaan negatif terhadap Elisa Vision. Sekiranya di dalam perjalanan karier kedua-dua pihak jalan kami bertembung sekali lagi, Insya-Allah, saya bersedia untuk bekerjasama dengan pihak Elisa Vision," katanya.

Pada Khamis lalu, Ben selaku defendan bersetuju membayar RM100,000 kepada Elisa Vision Sdn Bhd selaku plaintif. Isu yang tercetus sejak tahun lalu akhirnya diselesaikan secara baik di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Sivil Kuala Lumpur, Tasnim Abu Bakar.

Terdahulu, kemelut membabitkan Ben dan syarikat produksi itu bermula pada 27 Mac 2020 apabila dia didakwa pulang ke Malaysia secara sendiri meninggalkan semua kru produksi dan pelakon.

Tindakan itu dianggap tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri kerana dia tidak menghabiskan penggambaran drama berkenaan yang dijalankan di Scotland. Difahamkan, Ben juga enggan menyiapkan baki penggambaran drama itu di Malaysia dan tempatnya terpaksa digantikan dengan pelakon lain serta produksi perlu membuat penggambaran semula.




         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: