26 April 2022

ISU MV 'KELEPOK RAYA' - ALIFF SYUKRI HADIR KE SKMM BERI KETERANGAN



"Maaf ya, saya kena masuk ke dalam," ujar usahawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri ketika ditemui media yang berada di perkarangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).


Aliff atau nama penuhnya Aliff Syukri Kamarzaman yang berpakaian kot kelabu serta seluar panjang berwarna hitam dengan diiringi dua individu itu hadir ke SKMM, Cyberjaya pada pada 9.58 pagi Selasa bagi membantu siasatan berhubung video muzik lagu 'Kelepok Raya'.

Kehadiran selebriti kontroversi itu bagi memberikan keterangan berhubung klip video muzik lagu nyanyiannya yang dikaitkan dengan unsur bertentangan dengan norma dan budaya tempatan.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung video berkenaan. Menurut beliau, individu yang dikenal pasti telah diberi notis dan diminta untuk hadir di ibu pejabat SKMM, Cyberjaya pada Selasa.

Klik untuk gambar besar



Klip video raya berkenaan yang memaparkan sekumpulan penari lelaki bersolek dan berperwatakan lembut mencetuskan pelbagai reaksi kerana dikatakan kurang sesuai untuk tontonan masyarakat.

MV tersebut menerima kritikan ramai kerana dikatakan bertentangan dengan budaya Melayu dan orang Islam, lebih-lebih lagi ia ditayangkan ketika di bulan Ramadan.

Dalam pada itu, Annuar turut mengesahkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) menerima terlalu banyak aduan termasuk daripada Jabatan Perdana Menteri khususnya Hal Ehwal Agama dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berhubung klip video itu.

Pada pagi Isnin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad turut memaklumkan klip video lagu raya yang dimuat naik oleh jutawan sensasi itu telah dirujuk kepada Jakim untuk dibawa kepada pihak berkuasa.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: