28 April 2022

KEADAAN KESIHATAN BELUM DAPAT DIPASTIKAN - ANAK ARIPAH DAMANHURI BERSYUKUR IBU BOLEH BERNAFAS SENDIRI TANPA ALAT



"Doktor sahkan ada jangkitan kuman ada pada jantung dan pundi kencing mak. Begitu juga, platlet darah mak meningkat, namun masih di paras rendah. Selain itu, doktor juga sahkan mak diserang strok sebelah kiri. Sejauh mana kesan kepada mak, belum dapat dipastikan. Tapi, doktor rawat benda lain dulu.


"Memang tak boleh pasti apa-apa pun sekarang," itulah kata anak pelakon veteran Aripah Damanhuri, 73, iaitu Fais Nurpais Ismail berhubung keadaan kesihatan terkini ibunya.

Terdahulu, Aripah menerima rawatan intensif di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak kelmarin selepas dipindahkan dari wad biasa bagi pemantauan lanjut tahap kesihatannya oleh doktor.

Fais ketika dihubungi berkata, untuk hari ini tahap kesihatan ibunya masih tidak menunjukkan sebarang peningkatan, namun pada masa sama tiada kemerosotan.

Tambah Fais lagi, apa yang pasti, doktor turut memaklumkan ibunya sudah boleh bernafas sendiri tanpa perlu menggunakan bantuan alat pernafasan lagi.

"Alhamdulillah, syukur juga sebab mak dah boleh bernafas sendiri tanpa bantuan alat pernafasan. Begitu juga, ubat insulin mak sudah dihentikan oleh doktor. Tapi, sekarang doktor tengah tinggikan semula tahap gula mak.

"Bagaimanapun, mak tetap tak beri respon pada arahan mudah dan masih tidak berapa hendak membuka matanya. Cuma secara fizikal, nampaklah mak makin segar berbanding ketika mula-mula dia masuk ke zon kuning dulu," jelasnya.

Kelmarin, Fais memberitahu ibunya, Aripah sudah menunjukkan sedikit tindak balas positif sejak dimasukkan ke HKL untuk mendapatkan rawatan pada Jumaat lalu selepas paras oksigen dalam badannya menurun dan terpaksa ditidurkan.

Difahamkan juga, Aripah yang tiada sebarang penyakit sebelum ini diberitahu mengalami jangkitan kuman dalam darah dan sudah merebak sehingga mengganggu fungsi organ tertentu dalam badannya termasuk di bahagian buah pinggang.

Menurut Fais, kini dia dan keluarga cuma mampu memantau perkembangan kesihatan ibunya daripada makluman terkini yang dikongsikan oleh doktor dari semasa ke semasa.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: