28 April 2022

SUDAH JUMPA JPN, SEPAKAT MYRA TETAP BINTI 'ABDULLAH' - HALIM OTHMAN NASIHAT PASANGAN NIKAH DI THAILAND AMBIL IKTIBAR



"Selepas berbincang dan mendengar penerangan daripada KP (Ketua Pengarah) berhubung masalah saya yang sudah tidak ada dokumen perkahwinan itu, sebenarnya isu saya ini bukan kes terpencil kerana banyak orang berhadapan situasi seperti ini. Jadi, dengan segala keterangan diperoleh itu dan saya pun sudah berbincang dengan Myra yang akhirnya kami sepakat mengekalkan saja nama Yusmyra Natasya Binti Abdullah.


"Ini kerana, kita sudah mengambil kira beberapa aspek iaitu kesulitan jika nak buat pertukaran nama bapa, termasuk kita juga nak 'move on' dan paling utama, saya percaya ada hikmah yang besar di sebalik nama Abdullah itu," demikian kata pengacara Halim Othman memaklumkan anak tunggalnya, Myra Natasha akan kekal berbintikan 'Abdullah' selepas keputusan itu dibuat secara sepakat.

Menurut Halim, ia adalah keputusan terbaik selepas mendapat nasihat daripada Ketua Pengarah (KP) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Ruslin Jusoh di Putrajaya, pada Selasa.

Tambah bekas penyampai radio itu lagi, dia dan Myra, 27, sudah mengambil kira beberapa aspek termasuk kesulitan dalam proses menukarkan nama memandangkan tiada sebarang dokumen perkahwinan.

Klik untuk gambar besar



Dalam pada itu, Halim turut mengingatkan pasangan yang bernikah di Thailand supaya mendaftar nikah mereka dengan segera bagi mengelakkan masalah yang dialaminya.

"Walau perkahwinan dibina itu bermasalah, pergilah jumpa pihak JPN untuk mendapatkan kaunseling, nasihat dan penjelasan lanjut. Ia penting supaya sekiranya ada anak tidaklah akan menjadi isu seperti kes saya.

"Tidak perlu rasa malu, takut ditangkap JPN atau sebagainya kerana mereka tak akan menangkap kita sebaliknya membantu menyelesaikan masalah dialami. Mendaftarkan perkahwinan penting agar tidak memberi stigma kepada keluarga terutama anak itu nanti," ujarnya.

Sebelum ini, Myra membuat pendedahan eksklusif bahawa dia tidak berbintikan Halim kerana bapa dan ibunya, Yusnita Omar, 47, bernikah di Thailand pada 1994. Ibu bapanya bercerai ketika Myra berusia setahun. Urusan perceraian itu kemudian diselesaikan di Thailand pada tahun 1998.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: