21 April 2022

MANGSA TIDAK HADIR - PERBICARAAN DA'I SYED DITANGGUH KE 17 MEI



Selepas saksi yang juga mangsa dalam kes itu tidak hadir pada prosiding, hari ini, perbicaraan kes pendakwah selebriti Da'i Syed yang didakwa atas dua pertuduhan melibatkan jenayah seksual di Mahkamah Sesyen, di sini, ditangguhkan ke Mei ini.


Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim memaklumkan kepada Hakim Jamaludin Mat mengenai ketidakhadiran saksi itu dan memohon tarikh perbicaraan selama lapan hari pada April dilapangkan sebelum perbicaraan bermula 17 Mei.

Peguam Syed Amirul Syed Edros yang mewakili Da'i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful tidak membantah permohonan itu. Mahkamah membenarkan permohonan itu dan menetapkan 17 Mei untuk tarikh perbicaraan seterusnya.

Mangsa yang merupakan seorang penuntut sebuah kolej swasta berusia 24 tahun sepatutnya hadir bagi memberi keterangan selaku saksi pendakwaan pertama dalam perbicaraan kes Syed Shah Iqmal, 27.

Pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii terhadap wanita berumur 22 tahun (ketika itu) di rumah sewa tertuduh di Damansara Perdana, di sini, antara 3 hingga 4 pagi, 17 Oktober 2020.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Sementara itu, pada tarikh sama di Mahkamah Majistret, Syed Shah Iqmal turut didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama dengan maksud untuk mencabul kehormatannya pada tarikh dan lokasi sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.

Pada 19 Mac 2021, Mahkamah Majistret membenarkan kes cabul yang dihadapi tertuduh dipindahkan ke Mahkamah Sesyen untuk dibicarakan bersama.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: