25 April 2022

MUKA ZIZI PUCAT, MENGGIGIL BADAN KERANA DEMAM PANAS - YUSUF BAHRIN PANIK, BAWA ISTERI KE HOSPITAL



"Tiba-tiba pagi semalam saya alami demam panas... badan saya jadi menggigil. Tekak pula ada jangkitan dan darah rendah sebab tak cukup rehat. Yusuf paling panik, dah la ketika itu dia sedang menjalani penggambaran. Apabila dapat tahu keadaan saya semakin teruk, dia terus minta izin produksi untuk balik.


"Nasib baik pihak produksi memahami dan okay. Melihat wajah saya dah pucat, dia terus bawa ke hospital," demikian kongsi penyanyi Zizi Kirana apabila dia dikejarkan ke unit rawatan kecemasan di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur pada awal pagi Ahad, selepas diserang demam panas.

Mengalami tekanan darah rendah dan jangkitan pada bahagian tekak, Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah @ Zizie Mad Tahil berkata suaminya yang juga merupakan pelakon iaitu Yusuf Bahrin antara individu yang panik melihat keadaannya ketika itu.

Menurut penyanyi berusia 37 tahun itu, Yusuf yang sedang menjalani penggambaran bergegas pulang ke rumah untuk membawanya ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Klik untuk gambar besar



Sebelum ini, pelakon drama 'Jangan Ganggu Jodohku' itu memuat naik foto keadaan isterinya sedang menerima rawatan di hospital menerusi Instastory miliknya.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Pijak ini mengakui dia berasa kasihan melihat suaminya sanggup berpatah balik dari lokasi penggambaran kerana bimbang dengan keadaan kesihatannya.

"Selesai urusan di hospital, Yusuf sambung shooting dekat Subang Jaya. Kasihan juga la dia patah balik sana-sini ketika sudah tengah malam. Bila saya dah tidur, baru dia pergi kerja semula.


"Sekarang ini saya berehat di rumah sahaja sebab semalam doktor dah beri ubat tapi kalau keadaan hari ini masih tak okay juga, doktor suruh tidur di wad," ujarnya.

Pada November tahun lalu, Zizi pernah dimasukkan ke sebuah hospital swasta selepas mengadu sakit perut kerana bekerja tanpa henti.

Untuk makluman, Zizi mendirikan rumah tangga dengan Yusuf pada 19 September tahun lalu di Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: