19 April 2022

PEGUAM SAHKAN MAWAR KARIM TIDAK DIISYTIHARKAN MUFLIS & PERNIAGAANNYA MASIH DIBENARKAN BEROPERSI



Pada 15 April lalu, usahawan Mawar Abdul Karim telah membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan kononnya dia menerima pinjaman serta hutang sebanyak RM720,000 daripada seorang sahabat.


Mawar menerusi Instastory miliknya sebelum ini mendakwa dia difitnah seorang individu digelar 'S' yang dianggap mempunyai niat tertentu yang bertujuan mahu memalukannya malah ia bukan kali pertama berlaku.

Terkini, peguam mewakili Mawar iaitu Datuk Mohd Imran Tamrin dan Mohd Azali dalam satu kenyataan menjelaskan tiada sebarang notis kebangkrapan diserahkan kepada pihaknya sehingga kini. Untuk makluman, Datuk Mohd Imran dari Tetuan Zabir Imran & Partners, manakala Mohd Azali pula dari Tetuan Azali & Co.

"Kami mengesahkan bahawa setakat hari ini, 18 April 2022 , Mawar masih lagi seorang yang tidak bankrap. Tidak ada sebarang notis kebankrapan yang telah diserahkan kepada beliau setakat hari ini. Segala urusan berkaitan kes ini termasuk perkembangan dan maklumat lanjut berkaitan kes dimaklumkan oleh pihak peguam," katanya dalam satu kenyataan.

Klik untuk gambar besar



Sebelum ini, Mawar berdepan tindakan pengisytiharan bankrap susulan dakwaan beliau ingkar perjanjian dan tidak membayar wang pinjaman berjumlah RM720,000 daripada seorang rakan.

Pada 13 April lalu, ada laporan melaporkan peguam Nik Zarith Nik Moustpha dari Tetuan Mohd Asyraf Nik Zarith & Co yang mewakili plaintif iaitu kenalan Mawar bernama Nabil Mat Jahya ketika dihubungi berkata, apa yang berlaku bukan fitnah.

"Perkara ini bukan fitnah. Memang betul dan ada perjanjian pinjaman antara anak guam saya dan defendan (Mawar) yang dibuat pada 7 Jun tahun lalu. Tapi saya tak bolehlah kongsikan isi perjanjian mereka," ujarnya.



Dalam pada itu, kedua-dua firma guaman itu akan mewakili Mawar untuk menasihati serta membuat tindakan undang-undang berkaitan tuntutan difailkan pihak plaintif.

"Pihak kami juga telah pun memberikan beberapa maklumat berasaskan fakta material yang sangat penting berkaitan dengan kes ini kepada pihak polis. Kami mahu satu siasatan lanjut dan lebih menyeluruh dibuat bagi memastikan sama ada wujud sebarang niat jahat, cubaan atau salah laku jenayah berkaitan penipuan atau apa-apa kesalahan lain dilakukan terhadap Mawar," katanya.

Selain itu, pasukan peguam Mawar juga memfailkan permohonan untuk mengenepikan penghakiman ingkar kehadiran di Mahkamah Sesyen di Bandar Baru Bangi, hari ini.


"Kami mengesahkan bahawa terdapat satu penghakiman ingkar kehadiran bertarikh 11 Januari 2022 yang telah direkodkan terhadap anak guam kami di Mahkamah Sesyen di Bandar Baru Bangi, Selangor. Penghakiman ingkar kehadiran ini adalah suatu bentuk penghakiman yang diperintahkan tanpa kehadiran defendan di mahkamah," katanya.

Susulan perkembangan itu, satu sidang media khas akan diadakan membabitkan pasukan peguam dan Mawar sendiri jam 10 pagi di satu lokasi di sini yang akan dimaklumkan kelak.

"Buat masa ini anak guam kami tidak akan mengeluarkan apa-apa kenyataan berkaitan perkembangan kes ini. Satu sidang media khas bersama peguam dan Mawar akan diadakan Rabu ini jam 10 pagi di Kuala Lumpur. Tempat akan dimaklumkan kemudian dalam masa terdekat. Sebarang maklumat lanjut boleh berhubung dengan pegawai perhubungan luar kami Mohd Taufik Jamain di talian 013-4334377," jelasnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: