19 April 2022

HILANG 9 KG DEK TAK SELERA MAKAN, SEBAK SETIAP KALI TERINGAT MASAKAN ARWAH ISTERI - SHUIB GAGAHKAN DIRI DEMI ANAK



"Saya tak kisah pun orang cakap apa, daripada dulu saya lalu macam-macam. Asalkan apa yang kita pegang, tahu, rasa itu, kita jalan sajalah. Kalau nak memikirkan orang, apa pun saya tak boleh. Kalau saya tertonggeng di rumah menangis dengan anak-anak, netizen tak datang ketuk pintu saya. Mereka hanya boleh sokong mungkin di Instagram apa yang mereka terlintas.


"Tapi secara dalam realiti, belum ada lagi yang buat kaunseling percuma untuk saya," ujar pelawak Shuib Sepahtu atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad yang terus meratap kehilangan arwah isterinya, Siti Sarah dan enggan peduli kritikan dimana dirinya dikatakan belum 'move on'.

Meskipun sudah sembilan bulan pemergian isterinya, kerinduan Shuib, 38, terhadap arwah Siti Sarah terus mencengkam diri dan ada pasang surutnya di mana kadangkala dia tidak kuat melawan perasaan itu. Bagaimanapun, Shuib terpaksa kuatkan diri juga demi anak-anak memandangkan tugasnya lebih besar dan berat kini dan akui kerinduan yang dirasai terhadap arwah Siti Sarah cukup istimewa sebenarnya.

"Ikhtiar sendiri juga untuk lalui semua ini. Memang saya akui terbawa-bawa, takut terlarut dalam rindu… sedangkan perjalanan anak-anak masih jauh. Tanggungjawab saya pada mereka besar. Jadi, bagi saya, baik saya tidak terus layan perasaan dan beri perhatian penuh pada anak-anak. Tapi sebenarnya terfikir indah juga sebab rindu cara lain ini lain macam.

Klik untuk gambar besar



"Kita pula ada perasaan, wallahualam, kalau Allah izinkan mungkin saja akan jumpa dia balik. Kalau dapat jumpa balik itu, manis kan. Orang yang kita pernah jumpa, kenal, dahsyat itu. Berpegang dan merasakan untuk itu pun sudah 'best'. Cuma masa sajalah, lalu perlahan-lahan, insya-Allah sabar," katanya.

Shuib yang juga usahawan berjaya itu tidak rasa keterujaan untuk sambutan Aidilfitri kali ini. Menurutnya, dia bagaimanapun kena juga usaha meraikan Aidilfitri sebaiknya demi anak-anak tercinta.

"Saya nak bagi mereka lupa sedikit kesedihan itu. Jadi mungkin ada perancangan nak balik kampung dan duduk lama sedikit di kampung serta bawa mereka bercuti. Mungkin raya kali ini tiadalah di rumah," tuturnya.

Sementara itu, Ramadan tahun ini pastinya berbeza buat Shuib apabila menjalaninya tanpa isteri tercinta. Shuib memberitahu hal berkaitan makanan antara yang paling membuatkan dia sering terkenang akan arwah.



"Kami selalu buat aktiviti bersama termasuk bab makan dan mencari restoran yang sedap. Sekarang ini susah untuk saya dapat satu tempat yang kena dengan citarasa kerana rasakan seperti tidak lengkap.

"Ada satu hari saya terjumpa sebuah restoran yang memang menyajikan menu sedap tetapi ketika itu saya fikir alangkah indahnya jika arwah masih bersama. Pernah juga ibu mentua masakkan pajeri nenas baru-baru ini, saya tak boleh makan sebab teringatkan arwah. Itulah yang selalu dia masakkan untuk kami sekeluarga," kata Shuib.

Dalam pada itu, Shuib berkata, selera makan yang masih tidak menentu menyebabkan berat badannya semakin menurun. Namun, demi anak-anak, Shuib berkata, dia cuba memaksa diri untuk makan agar kesihatannya tidak terjejas.

"Keluarga saya selalu pesan supaya makan agar tidak sakit demi anak-anak. Saya paksa diri makan tetapi tidaklah terlalu berselera. Berat badan saya menurun dari 68 kilogram kepada 59 kilogram sekarang ini. Kalau hitung-hitung dan ikutkan selera sekarang ini, boleh turun lagi sepanjang bulan Ramadan ini," ujarnya.




         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: