24 April 2022

"SAYA KENA 'KENCING' HIDUP-HIDUP..." - ZAINOL MACWILSON BENGANG DITIPU PRODUSER, PENGARAH FILEM



"Saya kena 'kencing' (tipu) hidup-hidup oleh dua individu yang menawarkan saya berlakon dalam sebuah filem. Ketika ditawarkan berlakon oleh pengarah filem ini, saya akui teruja kerana kali terakhir terbabit dalam sebuah filem adalah pada tahun 1993 menerusi filem 'Jimi Asmara'.


"Bagaimanapun hari pertama saya ke lokasi penggambaran, berlaku kekecohan apabila kru sudah mula mogok dan mahu pulang ke Kuala Lumpur. Malah pengusaha inap desa yang menempatkan pelakon dan kru turut bertindak mengunci pintu pagar kerana pihak produksi tidak membayar duit penginapan.

"Disebabkan itu, penggambaran terpaksa dihentikan selama seminggu sebelum disambung semula selepas mereka membayar sejumlah duit kepada pihak yang terbabit," kata pelakon Zainol MacWilson yang mendedahkan dirinya ditipu dan dianiaya seorang produser dan seorang pengarah filem yang gagal membayar baki bayaran untuk sebuah penggambaran filem yang dijalankan di Sik, Kedah tahun lalu.

Zainol ketika dihubungi berkata, bukan hanya dia seorang, malah terdapat kru serta barisan pelakon masih belum menerima bayaran penuh hasil titik peluh dan kerja keras yang dilakukan.

Klik untuk gambar besar



Menurut Zainol, satu laporan polis sudah dibuat tahun lalu di Balai Polis Alor Setar, Kedah namun sehingga kini masih belum menerima maklum balas terkini. Katanya, sepanjang dua minggu menjalani penggambaran filem itu dia tidak dibekalkan skrip mahupun kontrak kerja.

"Pengarah ini dengan bangganya memberitahu sebanyak 16 filem arahannya sudah menemui penonton, namun tak sangka begini cara dia bekerja. Apabila isu ini berlaku, ramai pelakon dan kru tampil dan mengadu mereka terkena dengan dua individu ini yang gagal menyelesaikan baki tertunggak walaupun difahamkan mereka hidup dengan mewah.

"Walaupun baki bayaran yang perlu dilunaskan kepada saya tidak banyak, hanya sekitar RM5,000, namun saya berharap mereka bayar hutang saya, pelakon lain dan kru yang terbabit.

"Janganlah aniaya orang dengan cara begini. Kasihanilah orang lain yang bekerja keras mencari duit untuk kelangsungan hidup sedangkan anda mewah dengan kekayaan yang ada," ujarnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: