25 April 2022

TARIAN MV 'KELEPOK RAYA' DITEGUR - MENTERI HAL EHWAL AGAMA NASIHAT PADAM VIDEO, MAHU JUMPA ALIFF SYUKRI



"Saya mengambil maklum ada beberapa video yang tular berkenaan klip video raya dimuat naik oleh seorang ahli perniagaan yang tersohor di Malaysia," itulah kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad yang tampil mengulas mengenai kontroversi video muzik (MV) lagu 'Kelepok Raya' nyanyian usahawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri, selepas menerima kecaman netizen.


"Saya terpanggil untuk mengulas isu ini kerana pada ketika semua umat Islam pastinya berasa teruja untuk mengejar 10 malam terakhir Ramadan mencari sebanyaknya pahala yang Allah tawarkan kepada mereka yang beriman, seolah isu ini saya khuatir menenggelamkan keghairahan umat Islam dalam mengejar rahmat taqwa ini," katanya lagi menerusi Facebook miliknya pada pagi Isnin.

Menurut Idris, klip video lagu raya yang dimuat naik oleh jutawan sensasi itu telah dirujuk kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk dibawa kepada pihak berkuasa.

Dalam pada itu, Idris berkata tarian penari dalam MV berkenaan dilihat jauh bertentangan dengan adab ketimuran dan ajaran Islam. Idris turut memberitahu dia terbuka untuk bertemu dengan pemilik video berkenaan sebagai tanda ingatan dan menjalinkan ukhuwah sesama Islam.

Klik untuk gambar besar



"Nasihat saya dengan penuh kasih sayang dan cintanya saya kepada insan-insan hebat yang mampu membangunkan ummah, agar klip video seumpama ini boleh dikeluarkan daripada disiarkan di mana-mana platform media, atau ia boleh di privasi hanya untuk tatapan peribadi pemilik video.

"Saya yakin ia mampu memberi jiwa yang besar dan hati lebih lapang jika kita patuh pada ajaran dan nilai agama. Jika ada peluang, mungkin saya boleh bertemu mata bersama dengan empunya video ini, mungkin banyak perkara yang boleh dikongsi bersama. InsyaAllah," ujarnya.

Sebelum ini, netizen mengecam tindakan usahawan berkenaan yang memuat naik klip video raya memaparkan sekumpulan penari lelaki bersolek dan perwatakan lembut.

MV tersebut menerima kritikan ramai pihak termasuk pendakwah yang kurang senang dengan MV lagu berkenaan yang dilihat kurang sesuai untuk tontonan masyarakat.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: