20 April 2022

TERIMA SUMBANGAN KERUSI RODA ELEKTRIK, BAD INDIGO LUAH RASA SYUKUR: "ALHAMDULILLAH, REZEKI ALLAH NAK BAGI"



Penyanyi Bad Indigo yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) itu meluahkan rasa syukur apabila menerima sumbangan kerusi roda elektrik berharga RM2,700 daripada Skuad Hijrah Prihatin TV Alhijrah, hari ini.


Akui tidak menjangka akan menerima sumbangan berkenaan, Bad atau nama sebenarnya Badrul Izhan Yeop Abdullah, 47, berkata, dia sangat memerlukan kerusi roda itu disebabkan keadaan dirinya terutama selepas menjalani prosedur memotong semua jari kaki kiri akibat diabetis sejak Mac tahun lalu.

"Sejujurnya, saya tak menjangka langsung dapat kerusi roda elektrik ini. Sebabnya saya baru juga bercakap dengan rakan di tempat kerja dan semak harga nak beli kerusi roda ini. Selang beberapa hari dapat panggilan daripada pihak TV Alhijrah dan bertanya apa yang saya perlukan sekarang.

"Selepas artikel keluar di Harian Metro pada Jumaat lalu, mereka sekali lagi menghubungi saya dan maklumkan nak bagi kerusi roda ini. Alhamdulillah, rezeki Allah nak bagi.

"Diakui kerusi roda ini sangat diperlukan sekarang. Sejak saya menggunakan 'walker' dari September tahun lalu, ia sebenarnya memudaratkan kaki kanan saya. Setiap kali bangun dan duduk memang sakit dan susah. Jadi, dengan adanya kerusi roda ini memudahkan lagi pergerakan saya di tempat kerja," ujarnya yang dipetik sebagai kepada Harian Metro.

Klik untuk gambar besar



Bad yang kini bekerja di bahagian kreatif bengkel kereta Reiber Auto ini berkata, buat masa sekarang dia perlu memberi fokus pada kaki kiri selain perlu membersihkan luka di kaki atau 'dressing' selang sehari.

"Saya sihat, tapi kaki kena fokus untuk sembuh cepat. Namun agak susah juga sebab ada satu lagi lubang belum tertutup. Hari itu saya terjatuh di rumah dan banyak darah mengalir dari lubang itu. Salah satu saluran darah di kaki pecah. Sebab itu saya tidak boleh terlalu agresif. Cuma, bila tak agresif, saya pula berasakan diri lemah dan sakit. Sebab itu saya kena juga kerja," katanya.

Sementara itu, Ketua Kumpulan Integrasi Media dan Hal Ehwal Korporat TV AlHijrah, Saifulizan Sidek berkata, sumbangan diberikan pada Bad Indigo satu daripada projek Hijrah Prihatin Anak Seni yang dijalankan sepanjang Ramadan ini.

"Selain Bad, kami juga serahkan sumbangan pada pelakon dan penyanyi, Munirah Kadir, Sazali P Ramlee dan Mek Habsah," katanya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: