20 April 2022

ABANG YASIN SULAIMAN TERHARU TERIMA SOKONGAN MORAL KENALAN ADIKNYA



"Baru-baru ini pun saya bertemu ramai kumpulan-kumpulan nasyid. Semua bertanyakan berkenaan Yasin dan kata mereka berikan sokongan penuh kepadanya. Alhamdulillah... masa peguam, Yusmadi Yusoff jumpa dia sebelum ini keadaan dia nampak okey. Tapi dah tentulah ini satu persekitaran baru untuk dia.


"Jadi Yusmadi cuba menenangkan dia. Yang penting kita nak dia stabil. Insya-Allah...," tutur Abang penyanyi, Yasin Sulaiman iaitu Zain Sulaiman, 50, YANG melahirkan perasaan terharu terhadap sokongan rakan-rakan adiknya yang kini berada di Penjara Sungai Buloh.

Menurutnya, dia menerima banyak panggilan telefon daripada mereka yang melahirkan sokongan serta mahu melawat Yasin untuk memberikan kata-kata semangat. Zain berkata, Yasin pernah memberitahunya bahawa dia hanya mahu menjadi lebih baik dan dia memahami apa sebenarnya yang dimaksudkan.

"Yasin sebenarnya tak suka susahkan orang dan tak cerita dengan orang apabila dia mengalami masalah walaupun masalah perubatannya. Sebolehnya dia cuba cari jalan penyelesaian, cuba selesaikan masalahnya.

Jadi itulah... dia beritahu saya orang mungkin bila tengok dari luaran nampak semua okey. Tapi didalamnya dia sedang bertarung dengan penyakit yang dihadapinya. Itulah yang diceritakan kepada saya," katanya.

Klik untuk gambar besar



Zain berkata, seluruh keluarganya amat memahami masalahnya serta memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada adiknya.

"Kita memang bersama dia. Dia pesakit dan bukannya penjenayah. Itu pendirian kami. Kita memang tahu keadaannya. Ramai di luar mungkin tak tahu sejarah masalah kesihatan dia, masalah bipolar dia. Kita di pihak keluarga, malah rakan-rakan nasyid dia semua tahu masalah ini.

"Kalau tengok dalam video-video di YouTube, Yasin memang menaikkan kesedaran awam berkenaan penyakit bipolar dan keadaannya. Dia dah umumkan pada orang dan sesuatu yang harus dihadapi berterusan," katanya yang mengharapkan masyarakat tidak berterusan mengecam adiknya.

Penyanyi lagu 'Mimpi Laila' ini menghidap bipolar serius sejak 2009 dan pernah dimasukkan ke Wad Psikiatri HUKM (kini Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM) pada tahun sama dan sejak itu berada di bawah pengawasan doktor pakar. Dia juga mengambil ubat berterusan dan episod paling teruk dilaluinya berkaitan bipolar ialah pada 2009, 2013 dan 2018.

Terdahulu, Yasin tidak dibenarkan ikat jamin oleh Mahkamah Sesyen dan Majistret atas dua pertuduhan mengedar dan menanam 17 pokok ganja di kediamannya di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3 Kota Damansara dan menetapkan 18 Mei untuk sebutan semula kes.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: