30 April 2022

TERSEBAR BERITA PALSU TERLANTAR SAKIT - SARIMAH AHMAD KECEWA



"Saya dapat tahu mengenai berita ini apabila ada bertanya benarkah saya terlantar sakit. Sejujurnya, adalah juga perasaan kecewa apabila dimaklumkan mengenai berita palsu yang tersebar. Namun, apabila difikirkan semula, tak perlulah nak simpan perasaan apa-apa. Orang boleh kata apa sahaja.


"Doakan sahaja semoga saya dikurniakan kesihatan baik," kata pelakon yang mendapat jolokan Primadona Filem Melayu iaitu Sarimah Ahmad yang meluahkan perasaan kecewa apabila ada pihak menyebarkan berita palsu kononnya beliau kini terlantar sakit.

Meraikan ulang tahun ke-80 pada 28 April lalu, pemegang watak Marjina dalam filem klasik, 'Ali Baba Bujang' Lapuk ini berkata, meskipun keadaan kesihatannya bagaikan laut, ada pasang dan surut, namun, ia tidaklah tahap kritikal seperti digembar-gemburkan.

Terdahulu, pelakon yang mendapat jolokan Primadona Filem Melayu ini menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Prof Dr Md Nasir Ibrahim di kediaman anaknya, di Subang Jaya, semalam.

Klik untuk gambar besar



Bintang legenda, Datuk Sarimah Ahmad mempunyai cara tersendiri sebagai hadiah atas penambahan usianya. Sarimah berkata, dia akan memastikan dirinya khatam al-Quran yang sudah menjadi rutin hidupnya setiap kali tarikh istimewa bakal menjelma.

"Rutin harian saya lebih kepada mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa, sejak tidak berlakon. Saya bangun awal pagi dan selesaikan apa yang patut. Selepas menunaikan solat Dhuha, barulah saya mengambil sarapan dan melakukan senaman ringan.

"Saya akan pastikan mengaji al-Quran, setiap hari. Seingat saya, setiap kali hari ulang tahun kelahiran, saya akan khatam membaca al-Quran. Tahun ini, saya mula mengaji pada hari pertama Ramadan dan Alhamdulillah, sehari sebelum tarikh hari jadi tiba pada 28 April, saya sudah pun khatam sebanyak dua kali. Saya meluahkan rasa syukur kerana inilah sahaja cara saya untuk memberi ganjaran kepada diri sendiri," jelasnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: