30 April 2022

"ALHAMDULILLAH, SAYA BAGAI HILANG KATA-KATA DIBERI PELUANG KEDUA INI" - ALI XPDC SEBAK KENANG DETIK 'NYAWA-NYAWA IKAN'



Bagi siapa yang tidak mengenali Ali XPDC atau nama sebenarnya, Mohd Ali Ismail, 54, pastinya akan menyangka beliau seorang yang kental dan kebal kerana bergelar penyanyi rock.


Namun hakikatnya, jiwa Ali rapuh dan manja seperti keanak-anakan. Perkara itu diakui isterinya, Sharifah Azuwanna Syed Joned yang menjadi pasangan hidupnya sejak 27 tahun lalu.

Ali diuji dengan serangan angin ahmar selain pernah ditidurkan kerana kesukaran bernafas akibat masalah jantung dan paru-paru, baru-baru ini. Namun, umpama mati hidup semula, penyanyi berasal dari Klang, Selangor diberi peluang kedua terus bernyawa.

Bagaimanapun, kehidupan tidak lagi seperti kebiasaannya. Ketika ini, makan dan minum penyanyi lagu Bunga Angkasa itu menggunakan tiub kerana tekak masih sakit.

"Alhamdulillah, saya bagai hilang kata-kata diberi peluang kedua ini. Saya pernah berada pada tahap peratusan 50/50 untuk hidup. Seperti nyawa-nyawa ikan, Allah tarik nikmat aset suara dimiliki, tetapi dibentangkan banyak hikmah.

"Namun, kini keadaan saya semakin pulih. Sebelum ini, nak bercakap pun susah. Sekarang sudah boleh bercakap, walaupun tidak lancar. Jika susah sangat nak bercakap, isteri yang jadi jurucakap," katanya.

Klik untuk gambar besar



Ali berkata, sehingga kini, dia masih meneruskan fisioterapi dan 'rehab' seminggu sekali di Hospital Rehabilitasi Cheras. Kata Ali, dia bersyukur banyak pihak menghulurkan bantuan pada saat hilang punca rezeki.

"Pergerakan dan kos ulang-alik ke hospital juga dapat dijimatkan kerana saya sudah berpindah dengan menyewa pangsapuri di Seri Kembangan sejak awal Ramadan lalu. Dahulu, banyak guna duit ketika saya tinggal di Klang,

"Kos rawatan di Hospital Ampang selama tiga minggu sebanyak RM12,000 ditanggung Baitulmal. Begitu juga bayaran sewa rumah RM850 dibantu badan berkenaan. Kediaman baharu disewa juga dibayar Baitulmal sebanyak RM800. Kami hanya bayar RM50 sahaja," tuturnya.

Namun, sejak awal Ramadan lalu, Ali enggan terus berpeluk tubuh mengusahakan perniagaan menjual kerepek dan kuih tradisional: "Takkan saya terus mahu menerima sumbangan orang ramai. Jadi anak mengesyorkan saya menjalankan perniagaan. Akhirnya, rakan mencadangkan saya menjual kerepek dan kuih yang diusahakannya. Kami berniaga di tapak Pekan Sungai Besi. Tapak pun kawan saya uruskan tanpa perlu membayar sewa.

"Cuma saya terpaksa menggadaikan barang kemas isteri sebagai jadi modal ketika mahu memulakan perniagaan. Dapatlah mengumpul duit sebanyak RM8,000. Ketika ini, tiga anak bergilir-gilir menjaga gerai. Ini kerana saya belum kuat untuk menjaganya seorang diri.

"Hasil jualan ini bolehlah menampung kehidupan kami sekeluarga. Alhamdulillah, pernah hasil jualan cecah RM300 sehari," jelas Ali sambil memberitahu wakil kelab peminat XPDC turut datang ke rumah dan mempromosikan perniagaan diusahakannya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: