30 April 2022

"PERGILAH SAYANG IBU REDA" - ANAK LELAKI DELIMAWATI DITEMUKAN MENINGGAL DUNIA DALAM KERETA



"Allahuakbar. Berat sungguh dugaan Kau berikan di hujung Ramadan ini. Kau jemput satu-satunya anak lelaki yang aku tinggal. Dengan anak-anaknya yang masih kecil. Pergilah sayang ibu reda. Semoga Allah menempatkan anak ibu di syurga.


"Ya Allah Kau lapangkan kuburnya anakku Zulfazli Jaffar. Cantikkanlah rumah barunya. Ibu ampunkan segala-galanya. Tenanglah kamu di sana.

"Tunggu ibu ya sayang. Ibu akan menyusul nanti," tutur pelakon Delimawati yang berkongsi berita duka di laman sosial dimana dia telah kehilangan anak lelakinya iaitu Zulfazli Jaafar yang ditemukan meninggal dunia dalam kereta, di tepi jalan di Saujana Putra, Kuala Langat, Selangor, petang semalam.

Delimawati ketika dihubungi berkata, menantunya memaklumkan anak lelakinya itu keluar berjumpa kawan. Bagaimanapun, Delimawati tidak memaklumkan punca sebenar kematian anaknya itu, sebaliknya hanya mengatakan anaknya mungkin tidur dalam kereta yang penghawa dingin dihidupkan.

"Dia beritahu isterinya nak keluar jumpa kawan, tapi apabila dihubungi dia tak jawab panggilan. Itu yang isterinya keluar cari dan tengok kereta ada di tepi jalan. Apabila isterinya periksa, dia sudah meninggal dunia dalam kereta," jelasnya yang dipetik sebagai berkata kepada Harian Metro.

Delimawati yang popular dengan watak 'Hantu Kak Limah' itu berkata, jenazah anaknya dibawa ke Masjid Al-Amin, Taman Tenaga Puchong untuk disolatkan sebelum dikebumikan.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: