04 April 2022

"TIADA TEMPAT LEBIH GAGAL ATAS DUNIA MELAINKAN PENJARA" - AMENG TAK NAFI DADAH ADALAH BAHAN 'MENGASYIKKAN'



"Hukuman penjara sangat merugikan kehidupan. Apabila duduk dalam penjara selama lapan tahun, jadi, tempoh itulah saya rugi dalam hidup. Bukan sahaja rugi, malah memalukan. Jadi, perkara ini hanya mendatangkan keburukan pada diri sendiri.


"Apabila dimasukkan ke penjara, boleh dikatakan kehidupannya gagal. Tiada tempat yang lebih gagal atas dunia ini melainkan penjara. Saya mengambil iktibar ini. Apabila saya dimasukkan ke penjara, saya fikir kena ubah diri kerana saya gagal dengan kehidupan.

"Jika saya teruskan dengan perkara sama, saya akan gagal lagi. Dan, saya tidak mahu menjadi seseorang yang terus gagal. Pengambilannya salah di sisi undang-undang kerana kesan sampingannya teruk dan memudaratkan kehidupan.

"Sesiapa yang terbabit dengan dadah, mengalami kesukaran untuk mencari jalan keluar kerana merasakan dadah amat menyeronokkan. Disebabkan itu, kena faham konsep dunia ini untuk apa. Dunia hanya sementara. Tempat berseronok bukan di dunia, tetapi syurga. Sekarang kita sudah salah menggunakan konsep keseronokan dalam dunia.

"Jadi, kena hentikan pengambilan benda yang tidak baik dan kembali ke pangkal jalan," ujar penyanyi Ameng Spring, 54, yang berpendapat hukuman penjara dihadapi oleh seseorang penagih tidak berbaloi dengan kepuasan dinikmati dengan menagih dadah.

Ameng berkata, tempoh itu bukan sahaja satu kerugian buat dirinya, malah orang ramai. Penyanyi lagu 'Sampai Hati' itu berkata, episod hitam dalam hidupnya akan sentiasa ada, namun tetap bersyukur kerana menjadi titik tolak perubahan dalam kehidupannya.

Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail yang pernah dipenjarakan lapan tahun dengan 10 sebatan ekoran terjebak dengan penyalahgunaan dadah itu tidak menafikan dadah adalah bahan yang 'mengasyikkan', walaupun sedar penggunaannya salah dari segi agama dan undang-undang.

Kongsi Ameng, amalan dilakukan seperti menjaga solat, berzikir dan membaca al-Quran menjadikannya kuat untuk terus istiqamah mengubah kehidupannya berbanding sebelum ini.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: