04 April 2022

"TIDAK ELOK GUNAKAN ISTILAH 'MACAM ABANG' SEBAGAI TIKET" - RIDHUAN TEE TEGUR YAZMIN AZIZ & DANIAL CHUER ISU BERPELUK, GANTI SOLAT



Baru-baru ini hangat diperkatakan mengenai peserta Big Stage 2022 Yazmin Aziz dan Danial Chuer yang berpelukan setiap kali bertemu yang dimuat naik di TikTok. Video berkenaan mengundang rasa kurang senang netizen.


Ditanya mengenai komen negatif netizen yang menegur aksi berpelukan dengan Danial yang dimuat naik di laman TikTok, Yazmin yang sedar perkongsian itu dikecam telah mengambil jalan mengabaikan. Kata Yazmin, dia juga menganggap Danial seperti abang sendiri dan tindakan berpelukan itu sebagai tanda kasih-sayang mereka.

Bagaimanapun, penyanyi berusia 20 tahun ini berkata, dia lebih teruja apabila menerima banyak mesej positif daripada netizen yang suka melihat persahabatan mereka berdua.

"Saya sedar ada segelintir netizen kurang senang dengan video tersebut. Tapi saya biar saja mereka nak komen apa saja. Sudah tentu masing-masing ada pendapat. Bagi saya... saya tengok pada positif komen saja.

Klik untuk gambar besar



"Ada lagi banyak positif komen yang suka melihat persahabatan saya dengan Danial. Itu yang buat saya gembira. Ramai yang mesej kata nak ada kawan seperti kami. Saya pun dah belajar untuk abaikan komen yang terlalu negatif," tuturnya.

Isu tersebut turut mendapat perhatian penceramah bebas, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah yang tampil menegur kelakuan dua selebriti itu yang disifatkan tidak menjaga adab dan sensitiviti masyarakat.

Mengulas hal tersebut, kata Ridhuan yang juga merupakan profesor Pusat Pengajian Teras (PPT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), mana-mana individu berhak menolak untuk dipeluk oleh seseorang yang bukan mahram.



"Macam-macam boleh terjadi apabila dah berpeluk, walaupun tidak ada niat apa-apa pada awalnya. Ini bukan soal pendapat netizen atau tidak kisah dengan komen negatif, tetapi ia berkaitan adab-adab pergaulan budaya timur dan orang Melayu.

"Bukan sahaja dalam agama Islam, agama lain pun pentingkan adab pergaulan dan tidak membenarkan bergaul atau berpeluk bebas sebegini. Kalau hendak peluk sangat elok buat persiapan kahwin sahaja.

"Tidak elok gunakan istilah 'macam abang' sebagai tiket untuk berpeluk dengan seseorang yang bukan mahram. Kita berhak menolak untuk tidak berpeluk dan cukup dengan hanya meletakkan tangan di dada sebagai tanda hormat. Jika bersalam pun tidak digalakkan, apatah lagi berpeluk," ujarnya yang dipetik sebagai berkata kepada mStar.



Dalam masa sama, Ridhuan turut menasihatkan agar kedua-kedua penyanyi itu menggantikan solat jika pernah ditinggalkan sepanjang terlibat dalam program Big Stage 2022 baru-baru ini. Beliau turut memuji Marsha Milan sebagai seorang mualaf yang tidak henti melafazkan kata zikir selepas memenangi Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL36).

"Saya tidak pasti mereka (Yazmin dan Danial) ini sembahyang atau tidak sepanjang Big Stage. Jika tertinggal eloklah ganti. Namun jika menunaikan sembahyang.... Alhamdulillah.

"Saya contohi Marsha yang viral selepas menang AJL36. Dia tidak putus mengucapkan zikir ketika berada dalam kejayaan. Tidakkah kita rasa malu dengan mualaf sepertinya? Sedangkan kamu berdua lahir sebagai Islam," kata beliau.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: