11 May 2022

BERSYUKUR DIPERTEMUKAN JODOH LEBIH MUDA, ANGGAP HADIAH DARIPADA ALLAH - INI JAWAB ROSNAH MAT ARIS ISU 'SOROK SUAMI'



"Perkahwinan saya bersama suami adalah hadiah daripada Allah. Saya tak cari pun dan tak pernah terfikir nak kahwin dengan dia masa itu. Tapi, Allah nak bagi 'hadiah jodoh' untuk saya. Di antara saya dan suami, perbezaan usia kami amat ketara iaitu 26 tahun.


"Tapi, Alhamdulillah kini sudah 14 tahun kami hidup bersama dan tidak pernah juga bergaduh besar selama ini," tutur pelakon Rosnah Mat Aris, 67, yang menganggap jodohnya dengan suami, Tajul Efendie Isa, 41, atau mesra disapa Blue yang 26 lebih muda adalah hadiah daripada Allah untuk memberi kebahagiaan kepadanya.

Rosnah berkata sebelum dipertemukan jodoh dengan suaminya yang disifatkan 'lebih matang daripada usia' itu, dia pernah hidup menjanda selama 13 tahun berikutan kegagalan dalam rumah tangga.

Ditanya juga apakah tip kerukunan rumah tangga diamalkan, Rosnah berkata dia berpegang kepada tiga perkara utama yang sering diingatkan oleh suaminya iaitu jujur, ikhlas dan amanah dalam rumah tangga.

"Alhamdulillah, rezeki saya bertemu jodoh dengan lelaki muda tetapi lebih matang pemikiran daripada usianya. Dia (suami) juga hormatkan saya dan berjaya mengubah diri saya 360 darjah dari seorang yang kasar dan bising kepada wanita lebih sopan, menjaga bahasa dan lembut sekarang.

"Saya amat bersyukur pada usia begini, Allah pertemukan jodoh dengan suami yang boleh menjaga saya dengan baik. Allah bagi saya 'happy' kerana kami berdua juga mempunyai banyak minat bersama seperti suka memancing, berjalan-jalan serta masuk ke hutan," katanya.

Mengulas dirinya yang dikata 'sorok suami', Rosnah berkata suaminya yang tidak gemar 'show off' atau menunjukkan diri. Katanya, ini kerana Tajul lebih selesa menjalani kehidupan normal tanpa dianggap menumpang glamor atau populariti isteri sebagai selebriti.

Bagaimanapun, kebahagiaan rumah tangga Rosnah tidak terlepas daripada 'kata-kata' kurang enak termasuk dakwaan menggunakan sihir bagi mengawal suami muda. Katanya, dia tidak pernah melakukan perbuatan syirik itu selain berdoa, meminta kepada Allah.

"Saya tak guna sihir. Saya banyak berdoa kepada Allah agar diberikan suami yang boleh menjaga dan membimbing saya. Alhamdulillah, Allah nak beri jodoh terbaik dan saya terima," ujarnya.

Rosnah yang berjaya menempa nama dalam bidang lakonan sejak tahun 1980-an, cukup dikenali dengan watak Mak Limah dalam drama komedi bersiri, 'Rumah Kedai' di TV3 dan sitkom Trio Santan Berlada di RTM.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: