19 May 2022

KINI WAJAH SITI NURHALIZA PULA HIASI 'DIGITAL BILLBOARD' NEW YORK TIMES SQUARE



Nampaknya giliran penyanyi terkenal negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin pula menjadi warga Malaysia kelima untuk menghiasi papan iklan digital di Times Square selepas penyanyi Yuna, Layla Sania, kumpulan DOLLA dan Iman Troye.


Siti menerusi laman Instagram miliknya telah meluahkan penghargaan apabila wajahnya dipaparkan di papan digital tersohor tersebut. Jelas Siti, penampilannya mewakili negara sejajar bersempena kempen EQUAL oleh wadah penstriman digital tersohor dunia, Spotify.

"Bersyukur saya dapat berita hari ini kerana diberi penghormatan apabila wajah saya dipaparkan di papan iklan digital tersohor New York Times Square, Amerika Syarikat.

"Penampilan saya mewakili negara Malaysia pada papan iklan ini adalah sebahagian daripada kempen EQUAL oleh wadah penstriman digital tersohor dunia, Spotify.

"EQUAL adalah sebuah program peringkat global oleh Spotify yang ingin memupuk kesamaan wanita dengan memaparkan artis-artis wanita dari seluruh dunia," katanya.

Klik untuk gambar besar



Tambah Siti, terdapat 35 senarai lagu atau playlist EQUAL yang meliputi artis dari 50 negara. Malah, penyanyi popular negara itu turut wakili lagu EQUAL Malaysia dan Singapura.

Siti bukanlah satu nama asing buat rakyat Malaysia. Namanya bukan sahaja sudah dikenali di tanah airnya sendiri tetapi juga di negara-negara jiran seperti Indonesia, Singapura, Brunei dan beberapa bahagian lain di dunia.

Wanita asal Kuala Lipis ini mula mencuri perhatian selepas menyertai arena muzik tempatan pada 1995. Sejak itu, suaranya yang luar biasa terus mencetus fenomena dunia hiburan sehingga dirinya dimartabatkan sebagai penyanyi nombor satu negara.

Dengan lebih 20 buah album, ratusan anugerah tempatan dan antarabangsa, aneka konsert mega termasuk persembahan gah di Royal Albert Hall di London, Siti Nurhaliza sememangnya layak menerima penghormatan ini.

Dirahmati dengan suara yang unik dan keperibadian yang menyenangkan, Siti yang kini bergelar isteri dan ibu kepada dua orang cahaya mata terus mengukuhkan kedudukannya dengan pembabitan dalam pelbagai projek profesional serta kebajikan serantau.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: