19 May 2022

KEADAAN KESIHATAN SENIWATI MAK NANI MASIH BAIK & KUAT, MALAH SANGAT AKTIF BERKEBUN



"Alhamdulillah, keadaan ibu saya masih sihat dan bertenaga. Dia juga aktif dengan pelbagai aktiviti. Sekarang, dia lebih sibuk dengan kawan- kawannya dan berkebun. Untuk berlakon, kalau ikutkan dia masih nak buat lagi tapi ahli keluarga yang tidak benarkan. Kita mahu dia 'enjoy' dan menikmati kehidupan dengan tenang serta gembira.


"Dia pun baru balik dari mengerjakan umrah," demikianlah kata anak kepada seniwati Datuk Rosnani Jamil atau Mak Nani, 86, yang juga pengarah iaitu Anwardi Jamil, 64, mengenai keadaan kesihatan ibunya yang dikatakan masih baik dan kuat, malah beliau kini berada di Singapura menziarah saudaranya yang sakit di sana.

Anwardi ketika ditemui berkata, ibunya yang menetap di Janda Baik, Pahang itu berada dalam keadaan sihat dan sangat aktif berkebun. Menurut Anwardi, mereka sekeluarga hanya mahu ibu tersayang melakukan apa saja aktiviti yang disukai kecuali aktif sebagai pelakon dan pengarah di lokasi penggambaran.

"Sekarang, kami semua memang beri ibu kebebasan dan ingin dia menikmati kehidupan dengan gembira. Dia pun boleh berkunjung ke rumah abang saya yang menetap di Amerika Syarikat pada bila-bila masa yang dia suka," katanya.

Anwardi berkata, Mak Nani juga masih mempunyai hasrat mengarah filem. Namun, dalam keadaan sekarang ini Mak Nani sudah kurang berdaya untuk melakukannya. Katanya, tenaga Mak Nani sudah tidak seperti dulu.

"Kalau benarkan dia mengarah (filem) juga nanti, dibimbangi dia akan menyesal sebab tak dapat apa yang dia nak. Apatah lagi, senario industri perfileman sekarang sudah jauh berbeza. Jadi, kami sekeluarga memang nak dia menjalani kehidupan gembira saja," katanya yang kini tampil dengan filem terbaru arahannya, Showtime 1958.

Mengakui hasil sentuhannya dalam filem Showtime 1958 tetap mendapat kritikan daripada ibunya itu, Anwardi berkata, dia okey saja dan amat menghormati segala pandangan yang dikongsikan Mak Nani kepadanya.

Menerusi filem Showtime 1958 yang kini boleh ditonton di Netflix mulai 3 Mei lalu, Anwardi juga melakar kejayaan tersendiri apabila dinobatkan Pengarah Terbaik Asia pada Asian Cinematography Awards 2021 di Manila, Filipina, tahun lalu.

Hingga kini, Showtime 1958 yang dibintangi Amai Kamaruddin, Bell Ngasri, Shah Iskandar dan Mubarak Majid sudah memenangi 12 anugerah di festival filem luar negara yang disertai sejak tahun lalu.

Diinspirasikan daripada kisah benar yang dikongsi seniman yang juga bapanya, Allahyarham Datuk Jamil Sulong, Showtime 1958 membongkar kisah perit perjuangan anak seni yang belum pernah didedahkkan sebelum Studio Jalan Ampas ditutup selepas 20 tahun beroperasi.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: