10 May 2022

NASIR SEARCH SIFATKAN UMRAH BERSAMA ADIK-BERADIK SEBAGAI KENANGAN TERINDAH DALAM HIDUP



Pemain bass Search, Nasir Daud menyifatkan peluang mengerjakan umrah bersama adik-beradiknya pada 31 Mac hingga 13 April lalu sebagai kenangan terindah dalam hidupnya.


Nasir, 63, berkata, isterinya, Noraziah Saadon tidak turut serta kerana sudah dua kali mengerjakan umrah dan pernah sekali menunaikan haji sebelum ini. Menurutnya, di sana dia menempuh satu suasana yang tidak pernah dirasainya selama ini.

"Dia restu saya pergi dengan adik-beradik. Syukur kami sempat menjalani ibadah puasa selama dua minggu di sana. Subhanallah...alhamdulilah pada Ramadan yang mulia tahun ini, saya berada di bumi Anbia dalam suatu perjalanan spiritual.

"Setiap detik dan langkah amat bernilai terakam di benak fikiran. Perjalanan hari ini sangat berbeza di mana setiap negara ada peraturan masing masing selain tumit saya mulai kering dan pecah. Namun, itu perkara kecil saja.

"Saya berada di kota suci Madinah Al Munawarah menjejaki kekasih Allah dan menunaikan rukun cinta terhadap Rasulullah SAW. Saya berpeluang saksikan bukti kerasulan Nabi Muhammad SAW dan kesan peninggalan baginda.

"Saya rasa sangat selamat ketika berpakaian menutup aurat dan berihram. Apatah lagi di sana saya dikelilingi oleh kaum muslim terutama di Tanah Haram. Sejujurnya saya gementar apabila menjejakkan kaki di tanah suci.

"Saya 'koyak' menangis sehabis-habisnya ketika menghadap Baitullah. Sehingga sekarang saya masih bersedih apabila mengingati saat saat di Tanah Suci. Semoga Allah SWT mengampuni dan menrahmati kita semua," katanya.

Nasir berkata, perkara utama yang dilakukannya di hadapan Kaabah ialah berdoa agar Allah mengurniakan kesihatan yang terbaik buat dirinya, isteri, anak dan ahli keluarga serta sahabat-sahabatnya.

"Kesihatan amat bernilai dari wang ringgit. Saya lihat contoh, seorang yang serba mewah, kaya raya tapi hanya mampu makan bubur nasi saja setiap hari kerana masalah kesihatan. Saya berpeluang berada di Raudhah, bahagian yang sangat mulia ini adalah tempat Rasulullah SAW beribadah, memimpin solat, hingga menerima wahyu.

"Saya mendoakan moga semua saudara seagama berpeluang menziarahi Rasulullah SAW di Masjid Nabawi yang tersangat indah dan nyaman," tuturnya yang turut berkesempatan mendoakan kiriman doa-doa daripada rakan-rakan dan mereka yang mengenalinya.

Bercerita lanjut, Nasir mengakui tidak menyangka sama sekali akan ke Tanah Suci ketika Ramadan baru-baru ini walaupun pernah berniat di dalam hati untuk mengerjakan umrah.

"Tiba-tiba adik saya buat panggilan dan berbincang berkenaan rancangan ke umrah. Melalui tabung keluarga kami berpakat pergi bersama-sama. Nasihat saya kepada saudara seagama, pergilah umrah atau haji ketika masa muda dan kuat lagi.

"Banyak perkara boleh dilakukan selain ibadah umrah atau haji seperti ziarah kawasan sirah para rasul dan nabi. Lawatan ke banyak tempat sirah perlukan masa kerana perjalanan yang agak jauh," ujarnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: