01 May 2022

PERTAMA KALI SAMBUT AIDILFITRI SEBAGAI MUSLIM - MARGARET GAN LUAH RASA SYUKUR & TERUJA



"Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT. Saya gembira dapat berpuasa penuh dan bersolat sebagaimana tuntutan wajib seorang muslim. Walaupun bacaan surah al-Fatihah saya masih perlu diperbaiki, saya dalam proses belajar lagi.


"Saya pun dah berusia hampir 80 tahun, baru terbuka hati nak peluk agama Islam. Jadi, saya perlukan masa untuk belajar sebutan bahasa Arab dengan betul. Biasalah, kita lidah orang Cina.

"Apapun, anak saya Muhammad Taufiq banyak membantu beri tunjuk ajar," tutur pelakon veteran, Margaret Gan, 79, yang meluahkan rasa syukur dan teruja apabila akan menyambut Aidilfitri pertama kali sebagai muslim tahun ini selepas memeluk Islam pada 15 Februari lalu.

Margaret berkata, segala persiapan raya sudah diuruskan anaknya, Muhammad Taufiq Gan, 37, dan menantu. Margaret yang memeluk agama Islam dengan rela hati dan ikhlas kerana Allah SWT itu berkata, dia juga sudah mendaftar dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 1 Mac lalu.

Dalam masa sama, Margaret juga bersyukur dapat berpuasa penuh di bulan Ramadan tahun ini buat pertama kali berkata, Allah banyak mempermudahkan dirinya dengan melancarkan segala urusan.

Meraikan Aidilfitri secara sederhana, Margaret berkata, memang anaknya yang menyiapkan segala persediaan menyambut perayaan selama ini. Katanya, dia memang menetap serumah bersama anak, menantu dan dua orang cucu sejak dulu.

Sebelum ini, Margaret mengakui hatinya semakin tenang dan rezeki pun melimpah-ruah daripada Allah sejak memeluk Islam dan bergelar muslim. Katanya, dia juga bersyukur doa selama 14 tahun anak lelaki tunggalnya yang mahu dia terbuka hati dan ikhlas memeluk Islam akhirnya dimakbulkan Allah SWT pada usianya yang meniti senja.

Margaret yang sudah sebati dengan kerjaya seni sejak 1980-an berkata, dia gembira mendapat rezeki berlakon drama radio di RTM, baru-baru ini. Katanya, dia masih berminat berlakon drama asalkan watak diberi sesuai sebagai seorang muslim dan bertudung.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: