01 May 2022

"SAYA MEMANG MARAH SEBAR MENGENAI KEMATIAN TANPA USUL PERIKSA" - DJ LIN JEJAKI AMIR KDH, MAHU PERJELASAN SECARA DEPAN



"Ikutkan hati, saya memang marah kerana tindakan dia menyebar berita mengenai kematian orang tanpa usul periksa sangat sensitif. Apatah lagi, saya masih hidup serta mempunyai seorang ibu yang sakit di kampung dan ada anak-anak juga.


"Justeru, saya fikir kena cari juga siapa Amir Kdh ini dan jejakinya sampai jumpa untuk saya bersemuka dengan dia bagi mendapatkan penjelasan sebenar atas sebab apa dia sanggup menyebarkan berita palsu mengenai kematian saya.

"Saya memang nak jumpa dia (Amir Kdh) secara peribadi. Saya teringin nak tengok muka dia macam mana dan mahu bersembang dengan dia. Saya akan buat program Suria Cinta depan dia dan rekod juga," ujar penyampai radio popular Suria FM, DJ Lin yang memberitahu dia akan berusaha mencari dan menjejaki individu dikenali Amir Kdh yang juga 'admin' sebuah 'page' (kumpulan) dalam Facebook dengan nama Pengeluaran Khas KWSP 2022 yang menyebarkan berita dia meninggal dunia, Jumaat lalu.

DJ Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abd Majid, 47, ketika dihubungi berkata, dia kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab, biadap, kurang ajar dan tiada etika individu terbabit yang sanggup menyebar berita palsu dan fitnah terhadap dirinya yang masih hidup.

Menurut DJ Lin, dia kena bertindak secara profesional berikutan pembabitannya dalam penyiaran radio pun sudah lama iaitu 23 tahun serta dia juga mempunyai Ijazah Kewartawanan dan tahu etika untuk beradab dengan orang.

"Kalau dia memang duduk di Kedah, saya sanggup ke sana berjumpa dengannya. Saya akan cari dan jejaki dia sampai dapat dengan segera sebelum berangkat ke Sweden bagi menyertai Persidangan Radio Eropah pada 13 Mei hingga 23 Mei ini.

Klik untuk gambar besar



"Saya ada minta tolong peminat-peminat untuk sama-sama kesan di mana Amir Kdh ini berada. Jadi, kalau masih tak jumpa juga, balik dari Sweden nanti saya akan teruskan pencarian dan jejak sampai jumpa. Saya nak tahu sebab sebenar tindakannya daripada mulut dia sendiri," katanya.

DJ Lin berkata, tiada orang bertindak tanpa alasan. Jadi, memang dia nak tahu apakah individu berkenaan bertindak atas keputusan sendiri atau ada 'orang lain' di belakangnya yang menyuruh berbuat demikian.

"Saya kena tahu apa tujuan sebenar dia kerana sekarang ramai sangat orang buat video untuk dapatkan 'viral' dan tarik perhatian ramai. Apapun, perjumpaan itu nanti bukan untuk bergaduh tapi cuba dapatkan penjelasan secara terus depan-depan," jelasnya.

Pada Jumaat lalu, DJ Lin dikejutkan dengan berita palsu mengenai kematiannya yang tersebar di media sosial: "Ketika itu, saya paling risaukan ibu, Putih Jantan, 80, jika ada saudara mara menghubunginya bertanyakan mengenai berita itu. Ia berikutan ibu saya ada angin ahmar, darah tinggi, masalah jantung dan menjalani dialisis tiga kali seminggu," tuturnya.

Ditanya mengenai laporan polis terhadap individu berkenaan, DJ Lin berkata, dia melihat itu kesalahan pertama dan dia masih memberi peluang pihak terbabit berubah. Tapi, jika dia masih teruskan lagi selepas ini, memang tindakan undang-undang menyusul.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: