13 May 2022

TERKEJUT TEMAN SEKOLAH MANGSA RENTUNG - AIMAN TINO AKUI KALI TERAKHIR JUMPA JANUARI LALU



"Salam takziah buat keluarga Allahyarham Mohammad Nasrun Aidol. Sama-sama kita berdoa agar roh mereka tempatkan bersama orang-orang yg Soleh dan Beriman. Al-fatihah 🤲🏾," tulis penyanyi Aiman Tino yang terkejut salah seorang daripada lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang rentung dalam nahas di Kilometer (KM) 245.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, dekat Terowong Menora, Ipoh tengah malam tadi, adalah kenalannya.


Penyanyi lagu 'Ku Rela Dibenci' itu memuat naik entri di laman Instagram (IG) mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Muhammad Nasrun dan empat lagi mangsa terkorban.

Aiman memberitahu, Allahyarham Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, yang berasal dari Kuala Kubu Bharu, Selangor, adalah sahabatnya sejak sekolah rendah dan kali terakhir mereka bertemu pada Januari lalu.

"Kami kenal sejak belajar di Sekolah Rendah Ampang Pecah, Kuala Kubu Baharu. Kali terakhir kami berjumpa adalah apabila arwah datang ke rumah keluarga saya di Kuala Kubu Bharu untuk membeli manisan Nutella Pod yang saya jual, awal tahun ini," katanya.

Klik untuk gambar besar



Aiman atau nama penuhnya, Muhammad Aiman Yusri, berkata dia mendapat tahu mengenai nahas membabitkan arwah Muhammad Nasrun dan empat rakannya yang lain kira-kira jam 1 pagi tadi.

"Abang saya hantar mesej melalui WhatsApp mengenai kemalangan itu awal pagi tadi. Saya amat terkejut dan tidak sangka semua ini boleh terjadi sekelip mata,... Allah lebih menyayanginya. Salam takziah untuk keluarga arwah dan mangsa lain," tuturnya.

Difahamkan, sejak di bangku sekolah, Aiman dan Allahyarham Muhammad Nasrun masing-masing meminati bidang seni dan pernah menyertai pertandingan nasyid.



"Kami pernah sertai pertandingan nasyid. Kami suka dengan dunia muzik. Arwah pandai menulis lirik lagu bercorak nasyid dan ketuhanan dan selalu berkongsi karyanya dengan saya," katanya.

Selain Muhammad Nasrun, empat mangsa lain yang terkorban adalah Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, dari Chukai Terengganu; Iqbal Hasnun Halimi, 23, dari Senai, Johor; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dari Batu Caves, Selangor dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, dari Parit Buntar, Perak.

Muhammad Nasrun dan Iqbal Hasun adalah pelajar Sarjana Muda Pengajian Islam; Ahmad Naim Najmi (Sarjana Muda Kaunseling); Muhammad Nabil Haikal (Diploma Pentadbiran Perniagaan) dan Ahmad Akmal (Diploma Kaunseling Islami).

Semua pelajar itu difahamkan sedang keluar kawasan atau 'outing' ke Ipoh menaiki kereta yang disewa memandangkan tiada kelas pembelajaran semalam.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: