06 May 2022

TETAP KUAT & POSITIF DALAM MENERUSKAN KEHIDUPAN - ATILIA TAK NAFI KUDRAT ROSLAN AZIZ TIDAK LAGI SECERGAS DULU



"Beliau masih Roslan yang saya kenal dulu. Seorang yang kelakar dan sentiasa berfikiran positif mengenai penyakit yang sedang diharunginya. Kali terakhir saya jumpa beliau adalah pada minggu lepas. Tidak banyak perubahan yang berlaku, cuma sekarang ini dia mudah penat, lebih-lebih lagi kalau dia baru menjalani rawatan kimoterapi.


"Kalau dulu kami boleh berborak sehingga lewat pagi tapi sekarang ini tidak. Tapi apa yang boleh saya katakan, ingatannya masih tajam dan kuat untuk meneruskan kehidupan. Malah beliau juga selalu bercerita mengenai industri seni. Perbualan kami selalu mengenai masa depan industri muzik kerana selalu nak hasilkan lagu yang terbaik.

"Jadi selalu jugalah saya bagi dengar lagu-lagu yang tengah viral untuk tengok reaksinya," tutur penyanyi Atilia Haron yang memberitahu penerbit dan jurutera muzik, Roslan Aziz yang disahkan menghidap kanser limfoma tahap empat itu seorang figura yang kuat dan positif dalam meneruskan kehidupan sehariannya.

Atilia berkata, Roslan masih individu yang dikenali dulu, namun tidak dinafikan kudratnya tidak lagi secergas dulu. Menurut Atilia lagi, dia sebenarnya sudah lama mengetahui mengenai penyakit yang dihidapi Roslan kerana mereka kini sedang dalam proses menyiapkan album edisi piring hitam.

"Saya dan Roslan kini sedang menyiapkan album pertama saya berjudul Sangkar yang akan dikeluarkan dalam edisi piring hitam. Ia bersempena dengan projek kami yang ke-15 tahun.

"Menerusi album ini juga terdapat dua lagu baru ciptaan Roslan bakal diterbitkan. Jadi sekarang ini kami sedang sibuk menyiapkannya dan sudah hampir tiga bulan kami bekerjasama untuk projek ini. Selain itu, beliau juga sibuk dengan beberapa projek lain yang perlu dihabiskan," katanya.

Terdahulu, dunia hiburan dikejutkan dengan laporan memaklumkan bahawa Roslan diuji menghidap kanser limfoma tahap empat dan beliau dijangka hanya dapat hidup selama enam bulan.

Roslan atau nama penuhnya Roslan Abdul Aziz merupakan pengasas dan pemilik syarikat rakaman pertama di Malaysia, Roslan Aziz Productions (R.A.P) yang pernah menaungi artis-artis popular tanah air seperti Datuk Sheila Majid, Datuk Zainal Abidin dan Atilia Haron.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: