08 May 2022

"WALAUPUN SEDIH, RAYA KENA SAMBUT JUGA..." - IDZHAM ISMAIL KECEWA WANG SIMPANAN RM7,000 LESAP



"Pada 29 April, isteri saya maklumkan bahawa dia tak dapat mengakses akaun banknya menerusi aplikasi perbankan di telefon. Keesokan harinya, sewaktu nak buat pembayaran untuk berbuka puasa, kad debit isteri saya tak boleh digunakan sebab dah disekat.


"Bila kami hubungi pihak bank, mereka minta kami hadir ke bank pada Isnin untuk selesaikan urusan pertukaran kad. Kebetulan, diumumkan kita akan menyambut Aidilfitri pada Isnin.

"Jadi, pada hari Raya keempat (Khamis), barulah kami ke bank di Pulau Pinang dan apabila dapat mengakses semula aplikasi perbankan, baru isteri saya tersedar bahawa RM7,000 dah hilang," itulah kata pelakon Idzham Ismail yang berkongsi kekecewaan apabila wang sejumlah RM7,000 lesap dari akaun bank isterinya, Situ Nur Abilah Shamsudin.

Pelakon drama 'Jangan Menangis Cinta' itu ketika dihubungi berkata, dia dan isterinya menyedari kehilangan wang dalam akaun bank itu pada Khamis lalu. Tambah Idzham, transaksi yang dibuat juga sangat mencurigakan.

Klik untuk gambar besar



"Bila kami lihat transaksi bank, dalam masa sehari, ada sekitar lapan hingga sembilan transaksi yang dibuat ke Amerika Syarikat. Ada transaksi berjumlah RM1,000 dan ada juga RM2,000. Memang sangat mencurigakan sebab kami tak pernah berkongsi data perbankan di mana-mana platform online," jelasnya.

Menurutnya lagi, jumlah RM7,000 itu adalah jumlah yang besar untuk mereka sekeluarga: "Bagi orang lain, jumlah itu mungkin tak banyak. Tapi, bagi kami yang berusaha mengumpul wang sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, jumlah itu sangat besar.

"Menangis jugalah isteri saya bila dapat tahu apa yang berlaku. Kami dah buat laporan polis juga dan sekarang masih lagi menantikan sebarang informasi terkini.


"Pihak bank maklumkan, mereka akan hubungi kami pada Isnin (esok). Memang harapan kami, wang itu dapat dikembalikan. Kalau sebaliknya, kami anggap sahaja itu bukan rezeki kami," katanya.

Walaupun bersedih dengan situasi ini, Idzham masih meraikan kemeriahan sambutan Hari Aidilfitri bersama keluarga. Baginya, apa yang terjadi adalah ketentuan Allah dan satu peringatan supaya mengambil langkah lebih berhati-hati.

"Syukurlah masih ada duit simpanan lain untuk buat belanja hari raya. Walaupun sedih, raya kena sambut juga bersama keluarga yang lain. Ini adalah jalan yang telah ditentukan Allah. Kalau ada rezeki saya pasti akan dapat semula duit itu nanti," ujarnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: